3 Lelaki Ditahan Merusuh, Pukul Pemuda

ALOR SETAR – Polis menahan tiga suspek berusia antara 17 hingga 26 tahun bagi membantu siasatan kes sekumpulan lelaki merusuh dan memukul seorang pemuda berusia 21 tahun dalam kejadian di sebuah medan selera di pekan Kulim, Kulim dekat sini pada Khamis lalu.

Ketua Polis Kedah, Datuk Asri Yusof memberitahu, tiga lelaki itu ditahan di sekitar Pekan Kulim antara pukul 4.30 petang hingga 7.30 malam semalam, lapor Kosmo.

“Tiga lelaki itu ditahan bagi membantu siasatan kes rusuhan dan mendatangkan kecederaan terhadap seorang lelaki berketurunan India di sebuah kedai di medan selera di Pekan Kulim,” katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.

Dalam kejadian kira-kira pukul 12.30 tengah malam, Khamis lalu, sekumpulan lima lelaki dikatakan bertindak memukul mangsa yang ketika itu sedang minum bersama beberapa rakannya.

Kejadian dipercayai berlaku apabila kumpulan lelaki tersebut tidak berpuas hati selepas mangsa memandang ke arah salah seorang suspek berkenaan.

Asri berkata, akibat kejadian tersebut, mangsa mengalami luka pada kepala dan terpaksa menerima 13 jahitan selain turut kehilangan kad pengenalan, lesen memandu, kad mesin pengeluaran wang automatik (ATM) dan wang tunai RM50.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.