Jenazah Haron Din Selamat Dikebumikan Pagi Tadi

KUALA LUMPUR – Jenazah tokoh ulama, Allahyarham Datuk Dr. Haron Din selamat dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Five Pillars Farm Livermore, California, Amerika Syarikat (AS).

 

Menerusi catatan di akaun Facebook Tuan Guru Haron Din (Offical) anak Allahyarham, Dr. Huda Haron memaklumkan jenazah Allahyarham dikebumikan pada pukul 5.57 petang waktu tempatan (8.57 pagi waktu Malaysia).

 

“Alhamdulillah. Tanpa rehat baba dan bersemadinya jasad baba yang mulia. Sempurna dengan bantuan insan-insan yang membantu tanpa soal jawab dan tak mengira apa jua. Terima kasih dari kami sekeluarga,” catat Dr. Huda dalam Facebook tersebut.

 

Menerusi catatan tersebut, Dr Huda memaklumkan jenazah Allahyarham dimandi dan dikafankan di Masjid An Noor, Santa Clara dan solat jenazah dilaksanakan di i Masjid Muslim Community Association selepas solat Jumaat. Jenazah tiba di Tanah Perkuburan Islam Five Pillars Farm Livermore pada pukul 4.20 petang (7.20 pagi waktu Malaysia).

 

“Ramai jemaah masha-Allah…jemaah solat Jumaat  3 lapis (kami sesi kedua. Alhamdulillah,” katanya.

 

Haron, 76, meninggal dunia pada pukul 10.10 pagi semalam waktu Malaysia di Hospital Stanford University, San Francisco, AS akibat komplikasi jantung. Allahyarham dimasukkan ke hospital bagi mendapatkan rawatan berkaitan masalah jantung yang dihidapinya. – UTUSAN

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.