BoBoiBoy The Movie Tarik Minat Industri Animasi Jepun

CHIBA – Filem animasi BoBoiBoy The Movie, terbitan syarikat tempatan, Animonsta Studios Sdn Bhd (Monsta) mendapat sambutan dan reaksi positif daripada industri animasi Jepun.

 

Ketua Pegawai Eksekutifnya, Nizam Razak, berkata maklum balas memberangsangkan ketika sesi tayangan di Tokyo, Selasa lalu memberi petunjuk kualiti syarikat tempatan setanding dengan negara maju dan mempunyai peluang menjalin hubungan kerjasama dengan mereka.

 

Beliau berkata, hampir 30 penggiat industri animasi di Jepun menyaksikan tayangan filem berkenaan yang mendapat sambutan hangat di tanah air dan negara jiran sejak ditayangkan, baru-baru ini.

 

Katanya, antara wakil syarikat yang menyaksikan tayangan filem itu termasuk syarikat yang menerbitkan Pokemon, LOM Digital dan siri animasi Conan, TMS Entertainment, selain rangkaian pawagam terbesar Jepun, Toho Cinema; syarikat permainan Bandai serta syarikat penyiaran, Asahi Broadcasting Corporation.

 

“Mereka kagum dengan kualiti filem, gaya penceritaan menarik yang dihasilkan dengan kos berpatutan dan tenaga kerja yang minimum.

 

“Maklum balas diterima sangat memberangsangkan dan kita ada potensi untuk menjalin kerjasama dengan mereka, sebuah negara yang mendominasi industri animasi.

 

“Ia juga hasil bantuan Perbadanan Pembangunan Perdagangan Luar Malaysia (MATRADE) dan Perbadanan Ekonomi Digital Malaysia (MDEC) yang membuat sesi suai kenal serta pertemuan perdagangan dengan penggiat industri mainan dan digital Jepun,” katanya ditemui ketika menyertai pameran Tokyo Game Show 2016 di sini, semalam.

 

Turut hadir, Pesuruhjaya Perdagangan MATRADE di Tokyo, Shah Nizam Ahmad. Monsta adalah antara 16 syarikat tempatan yang menyertai pameran tahunan anjuran Persatuan Pembekal Hiburan Komputer Jepun yang berlangsung di Tokyo Makahuri Bay bermula Rabu lalu hingga Ahad ini.

 

Pameran edisi ke-20 dan terbesar di Jepun dan kali pertama dianjurkan MATRADE menerusi Pavilion Malaysia itu disertai 600 peserta termasuk tujuh pavilion antarabangsa serta dijangka dikunjungi hampir 300,000 pengunjung.

 

ORANG ramai mengunjungi Pavilion Malaysia untuk mendapat maklumat lanjut produk ditawarkan 16 syarikat tempatan yang menyertai Tokyo Game Show 2016.

 

Monsta dipercayai syarikat pertama dalam kalangan negara jiran yang mengadakan tayangan filem sedemikian, turut positif dapat memasarkan siri animasi dan filem bagi pasaran Korea dan China awal tahun depan.

 

Nizam berkata, pihaknya turut menjalin kerjasama dengan syarikat permainan terkemuka Jepun, Takara Tomy untuk menghasilkan animasi dan alat mainan Stoppy yang dijangka dipasarkan pada tahun 2018.

 

“Kami juga akan menerbitkan siri animasi Wawa Galaxy yang bakal ditayangkan akhir tahun ini, manakala filemnya pada tahun 2018 dan alat mainan pada tahun depan,” katanya.

 

Sementara itu, Shah Nizam yakin lebih banyak produk syarikat tempatan yang berkualiti mampu menembusi pasaran antarabangsa pada masa depan.

 

“Syarikat animasi kita diyakini negara luar dan diharap misi rangsangan eksport untuk kandungan kreatif dan multimedia ke Jepun ini dapat membantu syarikat berpotensi mendapat peluang pasaran baharu menerusi pelbagai program diatur dengan penggiat industri berkenaan,” katanya.-BH

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.