Video: Cadangan Sabah-Sarawak Keluar Malaysia Idea Bodoh

Miri – Ketua Menteri Sarawak Tan Sri Adenan Satem menyifatkan cadangan agar Sarawak dan Sabah keluar dari Persekutuan Malaysia idea bodoh.

Katanya, selepas 51 tahun penubuhan Malaysia, adalah malang masih ada yang cuba membawa cadangan tersebut.

“Mereka yang membawa idea tersebut adalah minoriti. Mereka bawa idea bodoh sedangkan majoriti rakyat mahu terus kekal.

“Selepas 51 tahun menyertai Malaysia sebagai rakyat merdeka, penduduk negeri ini sudah maju, percaya kepada diri sendiri, bangga dengan negerinya, kembali memperoleh maruah yang hilang (akibat kolonialisasi),” katanya semasa berucap pada Sambutan Perayaan Hari Malaysia ke-51 Peringkat Kebangsaan, di Dataran Kipas Selasa malam.

Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak dan Timbalan Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin adalah antara kenamaan yang menghadiri majlis berkenaan.

Yang Dipertua Negeri Sarawak, Tun Abdul Taib Mahmud dan isteri Toh Puan Ragad Kurdi Taib hadir menyempurnakan majlis.

Menurutnya lagi, rakyat negeri itu juga sudah mengalami pelbagai perubahan sejak menyertai Malaysia dari segi sosial, ekonomi, politik dan kemudahan asas.

Kehadiran beramai-ramai di sambutan itu juga adalah cara rakyat nmerakamkan rasa cinta kepada negara, bangsa dan semua rakyat Malaysia.

“Melihat kepada kehadiran ribuan pengunjung yang memenuhi Dataran Kipas sempena sambutan perayaan Hari Malaysia, jelas menggambarkan betapa mereka cintakan Malaysia,” tambahnya.

Sementara itu Timbalan Menteri Kerja Raya, Datuk Rosnah Abdul Rashid Shirlin menyifatkan tindakan tersebut sebagai satu perbuatan khianat.

Beliau turut mengesa pihak berkuasa agar segera mengambil tindakan tegas terhadap individu yang tidak bertanggungjawab itu mereka boleh dihukum dengan sekeras-kerasnya.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.