SUBANG – Syarikat pengendali pesawat terhempas, Jet Valet Sdn Bhd disahkan berdaftar dan memiliki lesen penerbangan.
Ketua Pegawai Eksekutif Pihak Berkuasa Penerbangan Awam Malaysia (CAAM), Datuk Kapten Norazman Mahmud berkata, pihaknya sedang menjalankan siasatan terperinci sebelum memutuskan sebarang tindakan lanjut ke atas syarikat pengendali berkenaan.
“Selepas kita (CAAM) dapatkan semua dokumen yang penting untuk kita buat siasatan awal.
“Setakat ini CAAM boleh sahkan (Jet Valet) ini ada lesen, ada pendaftaran juga.
“Dari segi (kebenaran) operasi syarikat ketika ini, kita tak boleh tentukan sehingga siasatan dijalankan,” katanya ketika sidang media di Lapangan Terbang Sultan Abdul Aziz Shah, Subang pada Khamis.
Sebelum itu, dalam kenyataan media, Norazman mengesahkan pesawat yang terhempas di Elmina itu tidak membuat panggilan kecemasan atau ‘Mayday’.
Katanya, pesawat berkenaan berlepas dari Lapangan Terbang Antarabangsa Langkawi pada jam 2.08 petang dan panggilan pertama yang dibuat dengan Menara Kawalan Trafik Udara Subang adalah pada 2.47 petang.
Pelepasan pendaratan diberikan pada 2.48 petang, namun tiga minit selepas itu Menara Kawalan Trafik Udara Subang melihat asap tebal dari lokasi nahas.