Tak Perlu Tunggu Jawapan, Kita Jumpa Di Mahkamah – M. Kula Segaran

KUALA LUMPUR – Naib Presiden DAP, M. Kula Segaran menegaskan beliau sama sekali tidak akan memohon maaf kepada Dr. Zakir Naik susulan kenyataannya mengesa tindakan diambil terhadap penceramah bebas dari India itu.

Kula Segaran yang juga Menteri Sumber Manusia berkata, dakwaan Zakir terhadap masyarakat India dan Cina di negara ini jelas menunjukkan penceramah bebas itu mempunyai hasrat mewujudkan perpecahan dalam kalangan masyarakat berbilang budaya di negara ini.

“Saya kini berada di Jepun atas urusan rasmi. Zakir sepatutnya tahu bahawa tiada keperluan untuk beliau menunggu jawapan daripada saya.

“Beliau perlu menasihatkan peguamnya untuk memfailkan prosiding jika serius kerana saya teguh dalam memerangi perkara ini, biar apa yang datang sekali pun,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Jelas Kula Segaran, suatu perkara yang perlu diyakini adalah beliau sama sekali tidak akan berpaut dan lari ke negara lain untuk mencari perlindungan.

“Saya akan kembali ke tanah air dan mempertahankan tuduhan tidak berasas itu tanpa sebarang rasa takut,” katanya.

Tambah Kula Segaran, beliau turut mengalu-alukan peluang untuk berdepan dengan sentimen ketaksuban dan anti rakyat Malaysia bagi pihak yang mengundi dan bergantung kepadanya untuk menjaga negara ini.

“Pendek kata, mesej saya kepada Zakir adalah saya akan berjumpa dengannya di mahkamah!” katanya.

Semalam, Zakir menuntut Kula Segaran meminta maaf secara terbuka dalam tempoh 48 jam atas kenyataan yang didakwa telah menfitnah penceramah bebas itu.

Sekiranya gagal berbuat demikian dalam tempoh yang ditetapkan, tindakan saman akan diambil terhadap Ahli Parlimen Ipoh Barat itu. – UTUSAN

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.