Kenyataan Menteri Berbaur Hasutan, Cetus Sentimen Kebencian – Tuan Ibrahim

KUALA LUMPUR – Pas menzahirkan kebimbangan dengan peningkatan sentimen kebencian agama dan kaum di Malaysia mutakhir ini.

Lebih buruk lagi, sentimen itu turut dicetuskan oleh beberapa menteri dan ahli politik parti pemerintah serta dibiarkan tanpa dibendung dengan baik.

Jelas Timbalan Presidennya, Datuk Tuan Ibrahim Tuan Man, rakyat melihat situasi itu tidak sihat dan boleh mengundang konflik yang lebih kritikal pada masa akan datang.

Ujar beliau, mengapa selepas mesyuarat Kabinet kelmarin (Rabu), ramai menteri mengeluarkan kenyataan berbaur hasutan mengusir pendakwah bebas antarabangsa, Dr. Zakir Naik.

“Tidakkah tindakan mereka jelas bercanggah dengan tanggungjawab kolektif Kabinet dan sengaja membangkitkan amarah rakyat?

“Adakah tindakan mereka telah membelakangkan pendirian kerajaan dan Perdana Menteri (Tun Dr. Mahathir Mohamad) sendiri? Siapakah sebenarnya yang paling berautoriti dalam kerajaan?,” soal beliau dalam kenyataan kepada media, semalam.

Menurut Tuan Ibrahim, Pas berpendapat tindakan segelintir menteri sangat merbahaya kepada kedudukan negara dan mereka seharusnya memainkan peranan lebih efektif untuk menenangkan keadaan serta memahami kemajmukan rakyat Malaysia.

Semua pihak, kata beliau, harus melihat pelbagai isu mutakhir itu dalam kerangka yang lebih besar, bukan hanya mementingkan kaum tertentu sahaja.

“Pembentukan Malaysia didukung oleh tonggak utama berpaksikan Islam sebagai agama Persekutuan, kedudukan Raja Berperlembagaan, keistimewaan hak orang Melayu dan Bumiputera serta Bahasa Melayu sebagai bahasa rasmi negara.

“Pas mendesak kerajaan memantau dan membendung mana-mana kumpulan termasuk di media sosial yang semakin giat mempromosikan unsur rasisme dan ekstremisme sehingga dilihat menggugat tonggak utama negara,” katanya.

Beliau berkata, kerajaan mesti mengambil tindakan tegas termasuk mengharamkan kumpulan itu bagi mengelakkan konflik perkauman lebih kritikal pada masa akan datang. – MalaysiaGazette

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.