Pertumbuhan Ekonomi Malaysia Suku Kedua 2018 Merosot – BNM

KUALA LUMPUR – Gangguan bekalan menyaksikan Malaysia mencatatkan pertumbuhan ekonomi perlahan bagi suku kedua 2018 pada 4.5% berbanding 5.8% tahun lepas, yang mana jauh lebih rendah daripada jangkaan ramai pakar ekonomi.

Gabenor Bank Negara Malaysia Datuk Nor Shamsiah Mohd Yunus berkata kemerosotan pertumbuhan itu disebabkan kejutan berkaitan komoditi dalam sektor perlombongan dan pertanian.

“Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) negara tumbuh sebanyak 5.4% pada suku pertama dan jangkaan sederhana pakar ekonomi bagi suku kedua ialah pada 5.2%,” katanya kepada pemberita pada sidang akhbar sulung beliau selepas pelantikannya sebagai gabenor pada 22 Jun lepas, menggantikan Tan Sri Muhammad Ibrahim.

Bagaimanapun, Nor Shamsiah berkata sektor perkhidmatan dan perkilangan terus menjadi pemacu pertumbuhan, disokong oleh perbelanjaan kukuh pengguna susulan pelaksanaan cukai barang dan perkhidmatan (GST) sifar dan permintaan berterusan terhadap produk elektrik dan elektronik dan produk berkaitan pengguna.

“Pertumbuhan dalam sektor perlombongan menguncup disebabkan terutamanya gangguan bekalan yang tidak dijangka, manakala sektor pertanian mengalami kekangan pengeluaran dan keadaan cuaca yang buruk.

“Aktiviti sektor swasta terus menjadi pemacu utama pertumbuhan apabila kedua-dua pelaburan dan penggunaan swasta berkembang kukuh semasa suku kedua,” katanya. – BERNAMA

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.