Azmin Kata Tidak Wajar Berdebat, Tolak Cabaran Rafizi Ramli

KUALA LUMPUR – Timbalan Presiden PKR, Datuk Seri Mohamed Azmin Ali menolak cabaran Naib Presiden PKR, Rafizi Ramli untuk berdebat menjelang pemilihan parti itu, hujung bulan ini.

Mohamed Azmin yang juga Menteri Hal Ehwal Ekonomi berkata, tiada kewajaran untuk debat itu dilaksanakan memandangkan perebutan jawatan antaranya dengan Rafizi membabitkan hal parti.

“Saya ucap terima kasih kepada saudara Rafizi atas tawaran debat itu, tetapi saya tidak nampak kewajarannya kerana ini adalah pemilihan dalam parti.

“Ini bukan pilihan raya presiden yang memerlukan pembabitan rakyat. Ini hanya dalam kalangan ahli PKR.

“Bagaimanapun, saya percaya kita boleh berbincang hal dalaman demi kebaikan parti kerana PKR perlu muncul lebih kuat selepas pemilihan kelak,” katanya ketika ditemui di Lobi Parlimen, hari ini.

Beliau mengulas cabaran Rafizi yang menyatakan kesediaan berdebat dengan Mohamed Azmin menjelang pemilihan PKR.

Rafizi akan bertanding jawatan Timbalan Presiden PKR menentang Mohamed Azmin.

Sebelum ini, Rafizi mendakwa pasukannya yang akan bertanding pada pemilihan PKR bulan ini termasuk Ahli Parlimen Permatang Pauh, Nurul Izzah Anwar; Ahli Parlimen Sungai Petani, Datuk Johari Abdul; Ahli Parlimen Selayang, William Leong Jee Keen; Ahli Parlimen Sungai Siput, S Kesavan; dan Ahli Parlimen Kuantan yang juga Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Fuziah Salleh.

Pemimpin PKR yang dikaitkan dengan ‘kem Mohamed Azmin’ ialah Menteri Besar Selangor, Amirudin Shari; Naib Presiden PKR, Dr Xavier Jayakumar dan Shamsul Iskandar Mohd Akin; selain Ahli Parlimen Bandar Tun Razak, Datuk Kamaruddin Jaafar; Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Paya Jaras, Mohd Khairuddin Othman serta ADUN Kajang, Hee Loy Sian. – BH

One thought on “Azmin Kata Tidak Wajar Berdebat, Tolak Cabaran Rafizi Ramli

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.