Mahathir Miliki 100 Juta Keping Wang RM500 & RM1,000, Kata Bekas Pegawai

PETALING JAYA – Bekas Perdana Menteri, Tun Dr. Mahathir Mohamad didakwa memiliki kemewahan luar biasa berbentuk wang tunai di luar negara.

Menurut bekas pegawainya, Abdul Hameed B. Gula Maideen, Mahathir ada menyimpan wang kertas RM1,000 dan RM500 sepanjang perkhidmatan beliau sebagai perdana menteri, dan disimpan di Taiwan sejak 1982 hingga 1995.

Sejumlah 35,980,800 keping wang kertas RM500 dan 65,417,100 keping not RM1,000 berada dalam simpanan Mahathir di luar negara.

“Saya ada maklumat wang RM1,000 dan RM500 masih berikat ada Taiwan. Kami ada senarai nombor siri wang ini berjumlah RM83 bilion.

“Masa Tun M kerja di Kementerian Kewangan, ada tiga orang yang tahu akan perkara ini.

“Wang-wang ini dicetak di London dan dihantar ke Taiwan dipegang oleh CKS Foundation secara berperingkat dari tahun 1982 hingga 1995. Wang itu masih ada di sana.

“Saya cuba nak bawa balik, tapi ada halangan daripada pihak mereka,” katanya dalam satu sidang media di ibu pejabat Pertubuhan Minda dan Sosial Prihatin (PMSP) hari ini.

Dalam pada itu, Abdul Hameed berkata, beliau pernah membawa isu wang ke pengetahuan Bank Negara Malaysia (BNM), dua tahun lalu, namun tiada sebarang tindakan mengenainya diambil.

Malah menurut Abdul Hameed, ia adalah untuk kegunaan peribadi beliau di masa akan datang.

“Mungkin dia lakukan semua ini untuk kepentingan peribadi. Dia mungkin ada rancangan besar terhadap Malaysia dan Singapura. Niat itu ada.

“Dia sudah rancang perkara ini sejak zaman Tunku Abdul Rahman lagi,” katanya.

Abdul Hameed berkata, dia dan beberapa lagi individu akan terus membuat pembongkaran mengenai ‘dosa-dosa’ Mahathir sepanjang 22 tahun memegang jawatan tertinggi negara.

“Dulu kalau kita keluarkan ‘dosa-dosa’ Mahathir, kita akan dibawa ke Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA).

“Ini baru 10 peratus, ada lagi 90 peratus ‘dosa-dosa’ Mahathir yang akan saya bongkarkan tidak lama lagi. Terutamanya isu Memali,” katanya.

Tambahnya yang juga pegawai khas utara PMSP, beliau tidak menyesal untuk membongkarkan kesemua aktiviti Mahathir untuk pengetahuan umum. – MalaysiaGazette.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.