Video: Dedah Dalang Utama Rancang ‘Guling’ Najib – Ramesh

Petaling Jaya – Pertubuhan Minda dan Sosial Prihatin (PMSP) mahu polis menyiasat dakwaan Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi mengenai dalang yang merancang komplot ‘menggulingkan’ kerajaan pimpinan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak.

 

Presidennya, Ramesh Rao berkata, siasatan secara serius perlu diadakan memandangkan Ahmad Zahid juga Menteri Dalam Negeri yang pasti ada bukti kukuh atas dakwaan yang dibuatnya.

 

 

“TPM semalam berkata ada bukti kukuh pihak cuba menggulingkan kerajaan, dan beliau juga mengatakan ada bukti siapa yang turut cuba menghasut. Saya rasa dalam 26 orang ahli Parlimen untuk bekerjasama dengan pembangkang dan mengguling kerajaan sedia ada.

 

“Kita tidak mahu mengambil tahu tentang 26 ahli Parlimen itu, (mereka) mungkin terdesak atau terhutang budi, saya tak tahu.. tapi apa yang penting ialah kenyataan itu (dakwaan Ahmad Zahid).. cari perancang itu,” katanya kepada pemberita selepas membuat laporan polis berhubung perkara yang sama di hadapan Ibu Pejabat Polis Petaling Jaya di sini hari ini.

 

Menurut Ramesh, pihaknya juga mahu siasatan itu tidak hanya menjurus kepada dalang disebalik rancangan menggulingkan kerajaan tetapi siasat juga pihak mana yang mengupah Sarawak Report, dalang di sebalik lima orang Tan Sri yang jadi perancang utama di sebalik pelan A, B dan C yang dikatakan bertujuan menjatuhkan Najib.

 

“Saya difahamkan ada pelan A,B dan C dan dua pelan sudah gagal, kini pelan C diaktifkan.. jadi kami mahu polis bertindak segera menyiasat mengikut Seksyen 124K, 124B dan 124C dan mencari siapa dalang disebalik kesemua rancangan ini dengan berani tanpa mengira kedudukan atau pangkat mereka,” tegasnya sambil enggan mengulas lanjut mengenai itu kerana mahu polis menjalankan siasatan.

 

Justeru beliau juga menyeru Ahmad Zahid yang juga Naib Presiden UMNO supaya memberi kerjasama penuh kepada polis dan berani mendedahkan kepada polis siapa perancang utama dalam hal itu..

 

Ini kerana, dakwanya, pihaknya tidak mahu wujud sebarang budaya fitnah memandangkan trend terkini menyaksikan bahawa pembangkang menyifatkan apa jua pendedahan sebagai spin dan cubaan mengalih perhatian rakyat daripada sesuatu isu.

 

“Kita juga tidak mahu wujudnya situasi mana-mana portal berita mendakwa bahawa ini adalah modus operandi untuk mengalih perhatian isu-isu semasa dan contoh terbaik yang boleh diambil ialah penemuan flaperon milik MH370 didakwa cubaan mengalih perhatian rakyat daripada isu 1MDB dan dana RM2.6 bilion.

 

“Jadi kita mahu Ahmad Zahid mengemukakan bukti siapa dalang, jika perkara ini dibiarkan, ia akan menggugat dan mengganggu kelancaran pentadbiran negara dibawah kepimpinan Najib demi rakyat.

 

“Kita juga mahu biarkan segala isu berbangkit ini menjadi yang terakhir dan tidak berulang lagi, ‘cabut’ dalang dari akar umbi demi keamanan dan kemakmuran negara sipaya terus terpelihara dan terlindung,” katanya.

 

Terdahulu, dalam respon yang sama, Ketua Polis Negara, Tan Sri Khalid Abu Bakar mengesahkan pihaknya menerima tiga aduan mengenai dakwaan Ahmad Zahid dan akan menyiasatnya tanpa sebarang kompromi.

 

Semasa merasmikan Mesyuarat UMNO Bahagian Ampang, Ahmad Zahid mendedahkan ada komplot yang mahu menjatuhkan PM melalui jalan belakang dan turut melibatkan pemimpin BN melalui akuan bersumpah yang dikumpul sebelum membuat undi tidak percaya kepada Najib di Parlimen.

 

Bagaimanapun, semalam, Ahmad Zahid menafikan dalang dalam parti BN itu bekas Timbalan Perdana Menteri yang baru digugurkan, Tan Sri Muhyiddin Yassin tetapi menggambarkan individu itu sebagai ‘orang tua’.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.