Undang-Undang Lompat Parti Elak Pengkhianatan – Azalina

Kuala Lumpur – Sebuah Undang-Undang Anti Lompat Parti (Anti-Hoping Laws) wajar digubal bagi bagi memastikan kesetiaan dan integriti dalam politik.

 

Cadangan itu dikemukakan oleh Ahli Majlis Tertinggi UMNO, Datuk Seri Azalina Othman memastikan ahli parti politik tidak membuat pengkhianatan dan komplot bagi menjatuhkan kerajaan dan parti.

 

“Ini bukan hanya soal kesetiaan dan integriti saja tetapi adalah soal pengkhianatan terhadap mandat rakyat… Pengkhianatan terhadap rakyat perkara yang kita tidak boleh tolak ansur sama sekali.

 

“Selain itu, pindaan tertentu kepada kebebasan berpersatuan seperti termaktub dalam Perkara 10, Perlembagaan Persekutuan perlu dibuat supaya tiada percanggahan dengan undang-undang baharu ini nanti,” katanya dalam kenyataan dikeluarkan di sini, hari ini.

 

Azalina yang juga Ahli Parlimen Pengerang berkata Jawatankuasa Disiplin parti komponen Barisan Nasional (BN) juga perlu menyiasat isu komplot pihak tertentu menggulingkan kerajaan secara terperinci dengan kadar segera.

 

Katanya, sekiranya dakwaan tersebut benar maka tindakan keras perlu diambil kerana parti tidak boleh berkompromi dalam soal sabotaj dan derhaka yang juga bertentangan dengan prinsip demokrasi negara.

 

“Saya juga ingin menyarankan dalam masa yang terdekat ini, semua Ahli-Ahli Parlimen BN boleh membuat deklarasi terbuka menunjukkan kesetiaan mereka kepada parti untuk meletakkan tanda noktah terhadap semua spekulasi dan masalah berbangkit ini,” katanya.

 

Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi, kelmarin mendakwa terdapat seorang pemimpin Umno sedang mengetuai gerakan untuk menjatuhkan kerajaan melalui “pintu belakang” dengan sokongan ahli parlimen pembangkang.

 

Naib presiden Umno itu berkata, sebagai menteri dalam negeri beliau difahamkan mereka ini sedang menyediakan akuan bersumpah (SD) untuk menggulingkan kerajaan.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.