Video: Tiga Kenderaan Hangus Akibat Molotov Cocktail

Kota Bharu – Kejadian tiga kenderaan yang hangus terbakar di sebuah rumah, di Kampung Renek, dekat Bukit Marak, Bachok, awal pagi tadi, disyaki akibat perbuatan khianat.

 

Ia susulan penemuan botol kaca di tempat duduk kereta jenis Perodua Kelisa, Toyota Vios dan Suzuki Vitara yang hangus, akibat dilempar dengan molotov cocktail oleh pihak tidak bertanggungjawab.

 

 

Difahamkan, tempat kejadian adalah rumah dua tingkat milik Ketua Pegawai Lembaga Kemajuan Pertanian Kemubu (KADA) Jajahan Tumpat, Rosli Hassan.

 

Ketika kejadian berlaku pada jam 4 pagi tadi, mangsa bersama sembilan ahli keluarga lain sedang nyenyak tidur.

 

Menurut Komander Operasi Jabatan Bomba dan Penyelamat Bachok, PBK II Abdul Razak Rahman, pihaknya menerima panggilan pada jam 4.02 pagi dan bergegas ke tempat kejadian bersama tujuh anggota.

 

Sebaik tiba di tempat kejadian, mereka segera memadamkan api yang sedang marak membakar ketiga-tiga kenderaan itu, kerana dikhuatiri turut memusnahkan rumah mangsa.

 

“Hasil pemeriksaan yang dilakukan dalam kenderaan yang terbakar itu, kita menemui botol kaca dipercayai molotov cocktail yang digunakan penyerang.

 

“Bagaimanapun, siasatan lanjut akan diteruskan bagi mengenal pasti punca sebenar, sama ada ia perbuatan khianat atau sebaliknya,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

 

Saksi, Mohamad Hisham berkata, sebelum kejadian, dia yang dalam perjalanan ke sebuah kedai makan, ternampak kelibat empat lelaki di hadapan rumah mangsa.

 

Katanya, empat lelaki itu dilihat melompat keluar dari rumah mangsa, ketika dia melalui jalan sama untuk pulang ke rumahnya.

 

“Saya terus mengejar mereka yang menaiki dua motosikal, dipercayai jenis Yamaha LC dan Honda EX5, kerana menyangka mereka menyamun rumah mangsa.

 

“Namun begitu, saya gagal, kerana mereka begitu pantas menghilangkan diri. Saya kemudiannya mengambil keputusan pulang ke rumah. Saya hanya mengetahui kejadian ini selepas subuh,” katanya.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.