Tiada Ahli Parlimen PAS Terlibat Guling Kerajaan, Kata Nik Abduh

Ketua Pemuda PAS Nik Mohamad Abduh Nik Abdul Aziz (gambar, kiri) mengesahkan tiada ahli Parlimen daripada parti itu yang terlibat dalam agenda menggulingkan kerajaan seperti didakwa Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi, lapor Sinar Harian.

 

Katanya, pihaknya menganggap dakwaan tersebut hanya berkaitan isu dalaman Umno.

 

“Kami setakat ini tidak terlibat. Saya dan kawan-kawan ahli Parlimen PAS tidak ‘dipinang’ apa-apa.

 

“Itu urusan Umno, kita tengok saja bagaimana mereka selesaikan isu tersebut,” beliau dipetik berkata akhbar itu hari ini.

 

Sabtu lalu, Zahid yang juga naib presiden Umno mendakwa, seorang pemimpin Umno sedang mengetuai gerakan untuk menjatuhkan kerajaan melalui “pintu belakang” dengan sokongan ahli Parlimen pembangkang.

 

Katanya, sebagai timbalan perdana menteri dan menteri dalam negeri, beliau difahamkan yang gerakan tersebut sedang menyediakan akaun bersumpah (SD) untuk menggulingkan kerajaan.

 

Bagaimanapun, beliau tidak mendedahkan identiti pemimpin Umno berkenaan, dan berkata ia akan “terbongkar sendiri”.

 

Dalam perkembangan yang lain, Nik Abduh berkata parti Islam itu akan mengadakan perhimpunan Oktober ini yang dijangka mengumpulkan 60,000 ahli dan penyokong PAS seluruh negara bagi memberi kekuatan kepada pucuk pimpinan.

 

“Kita mahu ahli PAS terus komited dengan parti. Kita semua tahu ada ahli yang dikacau dari dalam dan isu dalaman ini susah untuk diselesaikan,” katanya merujuk kepada Gerakan Harapan Baru.

 

“Dalam keadaan sekarang, sebuah parti tidak dapat jadi harapan rakyat jika asyik berbalah. Jadi, komitmen kita, kena kuatkan diri sehingga rakyat yakin kita sudah pulih daripada krisis ini,” katanya.

 

Pada masa sama, beliau menyatakan keyakinannya yang parti Islam tersebut akan pulih daripada krisis yang dihadapi menjelang hujung tahun ini.

 

“Kita nampak ahli begitu bersemangat untuk mempertahankan parti. Malah sehingga kini, kita menerima 4,000 hingga 5,000 keahlian baharu dalam sebulan.

 

“Jadi, bagaimana sebuah parti yang dikatakan akan hancur dan bakal tenggelam, tetapi ‘penumpangnya’ terus naik?” soalnya. – M.Insider

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.