Terima Maaf Langkah Terbaik Walaupun Kecewa Dengan Fitnah Politik Langkah Kajang

SHAH  ALAM – Bekas Menteri Besar Selangor, Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim menyifatkan tindakannya menerima pernyataan maaf daripada bekas Setiausaha Agong PKR, Datuk Saifuddin Nasution sebagai terbaik bagi menyelesaikan kes saman yang difailkan.

 

Katanya, beliau mengambil pendekatan itu dengan berlapang dada dan tidak mahu memanjangkan persengketaan.

 

“Saya sedar ramai yang agak kecewa apabila saya menyelesaikan kes ini dengan menerima pernyataan maaf daripada Saifuddin.

 

“Pada saya ini adalah tindakan terbaik yang perlu dilakukan apatah lagi ketika berada di dalam bulan Syawal, bulan kemenangan bagi umat Islam,” katanya menerusi facebook miliknya, semalam.

 

Menurutnya, pernyataan maaf sudah mencukupi untuk menebus maruah dirinya yang tercalar akibat fitnah dilemparkan oleh orang kuat parti berkenaan.

 

Namun begitu, beliau mengakui kes tersebut memberi tamparan hebat kepada dirinya serta pasukan di pejabat menteri besar yang sentiasa mementingkan amalan berteraskan ketelusan, pertanggungjawaban, dan kemahiran pengurusan selama menerajui pentadbiran kerajaan Selangor.

 

“Tidak dinafikan juga kami berasa amat kecewa kerana ditewaskan oleh fitnah, meskipun setelah bekerja keras selama enam tahun melakukan reformasi pentadbiran khusus untuk kesejahteraan rakyat.

 

“Langkah Kajang berjaya mengaibkan saya yang akhirnya menyebabkan saya kehilangan jawatan, lebih malang, strategi politik tidak bermoral itu turut menyebabkan keretakan dalam permuafakatan antara parti komponen Pakatan Rakyat akibat sikap politik retorik dan hipokrit,” katanya.

 

Abdul Khalid berkata, Langkah Kajang juga menyebabkan Pas sebagai sebuah parti politik yang akar umbinya sangat kukuh diketepikan, bahkan pemimpin mereka turut diaibkan.

 

“Permainan politik yang begitu dahsyat itu merugikan rakyat terutama di Selangor di mana isu-isu pokok seperti penstrukturan semula air yang masih belum dilaksanakan dengan lancar, masalah tanah termasuk masalah sampah serta hala tuju pentadbiran negeri yang masih kabur.

 

“Setelah maruah saya ditebus dengan kenyataan maaf, terbukti segala tohmahan dilemparkan adalah fitnah dan sebagai ahli parlimen serta Adun saya mahu bekerja keras untuk mewujudkan satu keadaan politik yang akan memberi manfaat kepada rakyat,” katanya.

 

Terdahulu, Abdul Khalid telah memfailkan saman ke atas Saifuddin kerana mengeluarkan dan mengedarkan satu laporan setebal 91 muka surat yang mengandungi pelbagai tuduhan dan fitnah terhadap dirinya.

 

Kes tersebut berakhir apabila kedua-dua pihak bersetuju menyelesaikannya secara baik di Mahkamah Tinggi Shah Alam dengan merekodkan Penghakiman Persetujuan yang menyaksikan Saifuddin mengemukakan permohonan maaf, kelmarin.

 

Selain memohon maaf, Abdul Khalid berkata, Saifuddin turut menyatakan rasa kesal dan memberi akujanji agar tidak mengulangi tuduhan serta fitnah yang dilemparkan kepada beliau.

 

“Saifuddin mengakui bahawa pernyataan dalam laporan sepatutnya tidak diperkatakan, dikeluarkan dan disedarkan bagi menjelaskan mengapa saya perlu dilucutkan daripada jawatan Menteri Besar Selangor.

 

“Namun, ia bukanlah satu bukti muktamad bahawa saya telah melakukan kesalahan seperti yang dinyatakan dalam laporan tersebut,” katanya. – Sinar

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.