Penganggur Terima Padah Liwat Kanak-Kanak

Kuala Lumpur – “Saya mahu tertuduh dihukum penjara selama yang mungkin, saya tidak mahu dia mengulangi perkara sama terhadap kanak-kanak lain pada masa akan datang,” rayu ibu mangsa kes liwat di Mahkamah Sesyen, hari ini.

 

Dalam keterangan impak yang dibacakan jurubahasa mahkamah, ibu kepada kanak-kanak berusia enam tahun yang diliwat itu berkata, beliau sedih dan marah tertuduh yang menyebabkan anaknya trauma dengan serangan itu.

 

“Anak saya juga tidak mahu balik ke rumah saya dan pengasuh” katanya.

 

Hakim, Datin M. Kunasundary menjatuhkan hukuman penjara 10 tahun dan enam sebatan kepada penganggur, Adam Shafiq Malik Faisul, 29, selepas dia mengaku bersalah meliwat seorang kanak-kanak lelaki yang baru pulang dari sekolah, dua minggu lalu.

 

Mahkamah memerintahkan Adam Shafiq menjalani hukuman itu, bermula tarikh dia ditangkap pada 5 Ogos lalu.

 

Lelaki itu didakwa melakukan seks luar tabii ke atas murid tadika berusia enam tahun di sebuah unit rumah pangsa, di Cheras, antara jam 1.30 tengah hari hingga 2 petang, pada 5 Ogos lalu, mengikut Seksyen 377C Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara tidak kurang lima tahun dan maksimum 20 tahun serta sebat.

 

Mengikut fakta kes, ketika kanak-kanak itu pulang dari sekolah dan hendak pergi ke rumah pengasuhnya di rumah pangsa itu, tertuduh menarik mangsa yang baru keluar dari lif dan membawa kanak-kanak itu ke rumahnya.

 

Selepas meliwat mangsa, tertuduh membawa mangsa ke bilik air, kerana mangsa ingin membuang air besar, tertuduh kemudiannya sempat memandi dan memakaikan bedak di badan mangsa, sebelum pengasuh kanak-kanak itu menjumpainya.

 

Timbalan Pendakwa Raya, Tan Sew Ping memohon mahkamah menjatuhkan hukuman setimpal kepada tertuduh, kerana jenayah itu adalah serius.

 

Tertuduh yang tidak diwakili peguam, merayu mahkamah menjatuhkan hukuman penjara minimun, tetapi menambahkan hukuman sebatan ke atasnya dan memohon mahkamah memberinya peluang memperbaiki diri. – Bernama

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.