Kita Terlalu Bergantung Kepada Chong Wei – Khairy

Kuala Lumpur – Negara terlalu bergantung kepada pemain perseorangan utama Malaysia, Datuk Lee Chong Wei, kata Menteri Belia dan Sukan, Khairy Jamaluddin.

 

Beliau berkata, sekalipun sokongan diberikan kepada Chong Wei sehingga dia bersara, yang berdasarkan perkiraan Khairy, mungkin selepas Sukan Olimpik 2016, usaha perlu juga dijalankan bagi mencari dan menggilap bakat baru yang sedang meningkat naik.

 

“Saya sudah kata dari awal, kita perlu bagi sokongan kepada for Lee Chong Wei selagi mana dia beraksi dan dia perlu membuktikan kepada saya yang dia akan bermain sehingga Olimpik.

 

“Sekalipun ya, dia pemain yang berusia. Ya, dia berusia 33 tahun. Ya juga, kita mahu mencari bakat lain tetapi dia tetap yang terbaik.

 

“Maka, kita masih perlu menyokongnya dan memastikan beliau melakukan yang terbaik dalam Sukan Olimpik. Ini mungkin cabaran akhir dan terbesarnya,” katanya dalam sidang akhbar selepas merasmikan pelancaran Hari Sukan Kebangsaan rakan korporat kementerian, di sini, hari ini.

 

Khairy yang mengulas mengenai kekalahan Lee kepada pemain China, Chen Long pada perlawanan akhir Kejohanan Badminton Dunia 2015, semalam, berkata sekalipun tidak menonton perlawanan itu, beliau dimaklumkan lawan Chong Wei sebagai `terlalu bagus dan dia tidak mampu menyainginya di pentas akhir.”

 

Beliau berkata, di sebalik persembahan Chong Wei pada final semalam, perseorangan nombor satu negara itu tetap menjadi tonggak harapan Malaysia untuk meraih pingat emas Olimpik, dengan dua pesaing utama sebagai halangan iaitu Chen Long dan Lin Dan.

 

“Kita perlu berbincang dan meneliti semula apa yang boleh diperbaiki berhubung taktik Chong Wei dan segala aspek permainannya dalam usaha menewaskan penghalangnya.

 

“Kita tidak nampak pesaing lain untuknya selain dua pemain itu. Tetapi pada masa sama kita juga perlu memastikan mempunyai harapan pingat dalam acara lain juga.

 

“Tetapi kita tidak putus harapan dengan Chong Wei dan dia pernah menewaskan Chen Long dan Lin Dan sebelum ini. Maka, kita perlu memberinya persiapan sebaiknya dan memastikan dia adalah di kalangan empat terbaik ke Rio (de Janeiro).”

 

Lee, di sebalik pengiktirafan sebagai pemain terbaik negara, tewas 21-14 dan 21-17 kepada juara bertahan, Chen Long di Stadium Istora Senayan, di Jakarta, semalam.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.