Guling Kerajaan: MP BN Adakan Sidang Akhbar Khas, Esok

Kuala Lumpur – Kelab Penyokong Barisan Nasional (BNBBC) dijangka mengadakan sidang akhabr khas bagi menyatakan pendirian berhubung dakwaan berkomplot untuk menjatuhkan kerajaan, esok.

 

Melalui hebahan media yang dihantar kepada SuaraTV sebentar tadi, sidang akhbar khas itu akan diadakan pada pukul 2.00 petang bertempat di Bilik Kunjungan Hormat, Tingkat 2, Blok A, Bangunan Sementara Parlimen Malaysia.

 

Menurut sumber Pengerusi BNBBC, Tan Sri Shahrir Abdul Samad bersama ahli-ahli parlimen Barisan Nasional (BN) dikatakan bakal menyatakan sokongan terhadap kerajaan pimpinan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Abdul Razak sekaligus menolak dakwaan terlibat untuk menjatuhkan kerajaan.

 

Sumber yang menghubungi SuaraTV semalam, melaporkan seramai 26 ahli parlimen BN terlibat dalam konspirasi tersebut.

 

Ketua Polis Negara, Tan Sri Khalid Abu Bakar sebelum ini turut mengesahkan pihaknya menerima tiga aduan mengenai dakwaan Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi dan akan menyiasatnya tanpa sebarang kompromi.

 

Semasa merasmikan Mesyuarat UMNO Bahagian Ampang, Ahmad Zahid mendedahkan ada komplot yang mahu menjatuhkan PM melalui jalan belakang dan turut melibatkan pemimpin BN melalui akuan bersumpah yang dikumpul sebelum membuat undi tidak percaya kepada Najib di Parlimen.

 

Bagaimanapun, Ahmad Zahid semalam menafikan dalang yang dimaksudkan itu adalah Tan Sri Muhyiddin Yassin namun menggambarkan individu tersebut sebagai ‘orang tua’.

 

 

 

 

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.