Cinta Facebook ‘Jejaka Afrika’ Tumpas

Kuala Lumpur – Sindiket menipu wanita tempatan tumpas selepas polis menahan 29 warga Afrika dalam serbuan berasingan sejak Julai lalu di seluruh negara.

 

Timbalan Pengarah (Siasatan) Jabatan Siasatan Jenayah Komersial Bukit Aman, Datuk Wira Hamza Taib berkata, turut ditahan empat orang wanita warga tempatan, seorang wanita warga Indonesia dan seorang warga Thailand dalam Ops Tiong yang dilancar bagi memburu sindiket penipuan membabitkan warga Afrika.

 

Menurutnya, semua suspek yang berumur dalam lingkungan 30 an itu dipercayai menjalankan sindiket penipuan sejak awal tahun ini dengan nilai kerugian dianggarkan lebih RM26 juta.

 

“Penjenayah menggunakan modus operandi dengan berkenalan melalui laman sosial Facebook sebelum dijanjikan hadiah dan barangan berharga.

 

“Suspek akan menggunakan gambar lelaki kacak dan putih serta menyamar sebagai lelaki Eropah dan ingin segera berkahwin.

 

“Selepas menyakinkan mangsa, suspek akan memberi hadiah melalui perkhidmatan kurier dan meminta mangsa membayar pelbagai jenis cukai sehingga tertipu,” katanya pada sidang media di sini, hari ini.

 

Hamza berkata, suspek menggunakan akaun bank milik wanita tempatan untuk menipu mangsa dan memudahkan urusan pemindahan wang.

 

Menurutnya, kebanyakan mangsa terdiri daripada wanita yang kesunyian, janda dan golongan profesional.

“Dengan tangkapan ini, polis dapat menyelesaikan sebanyak 29 kes daripada 761 kes yang dilaporkan dan menyelamatkan wang tunai sebanyak RM150,000.

 

Kes disiasat mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan, Akta Imigresen 1959/1963 (Akta 155) dan peraturan-peraturan 1663 dan Akta Pasport (Akta 150).

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.