Anak Perlis Cipta Nama Di Brazil

Kuala Lumpur – Selepas mengharungi cabaran dan bertungkus lumus mempamerkan kemahiran menggunting rambut, seorang peserta tempatan, Airul Firham Che Amran berjaya mengharumkan nama negara apabila memenangi pingat gangsa pada pertandingan World Skills Competition (WSC) 2015 di Anhembi Park, di Brazil yang berakhir semalam.

 

Airul, 21, menempah tiket kemenangan selepas bersaing dengan 31 peserta berbakat lain antaranya dari Perancis, Korea Selatan, United Kingdom dan Jerman.

 

Pertandingan dandanan rambut yang berlangsung di Sao Paolo, Brazil itu bermula pada 12 Ogos lalu yang disertai 1,200 peserta dari lebih 60 negara dan sebanyak 46 bidang kemahiran dipertandingkan.

 

Anak kelahiran dari Perlis ini ketika ditemubual media menyatakan niatnya yang hanya sekadar mencuba nasib bertukar sesuatu yang tidak dijangkakan apabila dapat mewakili Malaysia ke pentas dunia, sekaligus berjaya mengharumkan nama negara.

 

Katanya, dia mula berjinak dalam dunia dandanan rambut setelah mengambil kursus berkenaan selepas tamat persekolahannya.

 

“Pada mulanya, saya berasa agak gementar sehingga berpeluh di dahi tetapi selepas itu, saya mula berasa bangga dengan diri saya sendiri kerana mewakili negara dan saya akan memberi tumpuan kepada tugas-tugas yang diberikan,” katanya kepada Bernama.

 

Dalam pertandingan tersebut, Airul terpaksa mengharungi beberapa cabaran gayaan rambut antaranya melibatkan tema seperti kategori rambut panjang dan pendek wanita, rambut panjang pengantin dan fesyen potongan rambut lelaki.

 

Menceritakan pengalamannya, Airul menyatakan dalam usaha untuk mengekalkan stamina untuk bersaing dengan peserta-peserta lain selama tempoh 20 jam disifatkan sangat memenatkan, dia mengambil inisiatif mengambil makanan tambahan.

 

“Tiga hari pertama pertandingan sudah berakhir dan saya benar-benar berharap bahawa saya boleh memberikan pingat pertama untuk Malaysia di WSC,” katanya.

 

Seramai 20 peserta Malaysia mengambil bahagian dalam 19 kategori yang dipertandingkan dalam acara tersebut yang disertai belia dari seluruh dunia.

 

Masing-masing mempamerkan bakat dalam pelbagai bidang seperti elektronik, teknologi fesyen, masakan dan penyelenggaraan pesawat.

 

Difahamkan, peserta hanya dibenarkan mengambil bahagian dalam pertandingan tersebut sekali seumur hidup mereka.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.