Wan Azizah Kamu Bukan Orang Selangor, Jangan Ingat Boleh Jadi MB – NGO Bekas Ahli PKR

Shah Alam – Sebuah badan bukan kerajaan (NGO) yang terdiri daripada bekas ahli PKR hari ini mengecam cadangan parti reformasi itu melantik presidennya Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail sebagai menteri besar Selangor.

Timbalan Presiden Gerak Rakyat Arus Bawahan Selangor (Grabs) Hanafiah Hussein berkata rakyat Selangor selama ini tidak pernah merestui usaha Datuk Seri Anwar Ibrahim untuk melantik isteri sendiri sebagai menteri besar.

“Wan Azizah, kamu bukan orang Selangor. Jangat ingat kamu boleh jadi MB. Rakyat Selangor tak restu kerana kamu bukan anak Selangor dan dilantik oleh suami sendiri.

“Pelantikan kamu adalah bidan terjun yang disokong Anwar dengan memaksa Lim Guan Eng dan PAS untuk menyokong isteri sebagai MB,” katanya pada satu sidang media di Dataran Kemerdekaan, Shah Alam hari ini.

PKR minggu lalu memecat Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim kerana ingkar arahan parti bagi memberi laluan kepada Dr Wan Azizah sebagai menteri besar Selangor yang baru.

Bagaimanapun, Khalid sehingga ke hari ini masih menjalankan tugas seperti biasa walaupun tidak mendapat sokongan majoriti Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Selangor selepas Sultan diyakinkan beliau masih mendapat sokongan majoriti.

Hanafiah berkata tindakan PKR dan DAP sejak kebelakangan ini yang sering mempersoalkan perkenan Sultan Selangor terhadap Khalid membuktikan mereka tidak menghormati institusi raja di negara ini.

Katanya, apa yang cuba dibangkitkan PKR dan DAP itu jelas cuba mengelirukan rakyat dan sewajarnya mendapat perhatian pihak berkuasa.

“Kami dapati banyak perkara dibangkitkan PKR dan DAP membidas keputusan Sultan Selangor. Banyak yang mereka bidas termasuk mengutuk dan menghina institusi raja kerana menyokong Khalid sebagai MB.

“Saya nak ingatkan DAP dan PKR, mereka sepatutnya akur keputusan yang dibuat Sultan Selangor. Kebanyakan pemimpin PKR dan DAP ini bukanlah anak Selangor. Mereka harus tahu Undang-Undang Tubuh Kerajaan Negeri Selangor.

“PKR dan DAP cuba menghasut rakyat untuk menghuru-harakan kerajaan negeri Selangor. Pihak berkuasa seperti polis perlu siasat perkara ini,” katanya dalam perhimpunan yang dihadiri kurang daripada 15 ahli.

Sementara itu, Presiden Grabs Mohd Faisal Idris berkata dengan tertubuhnya NGO tersebut maka suara rakyat bawahan akan dapat didengar selepas pentadbiran negeri sebelum ini terjejas dengan kontroversi menteri besar Selangor.

Beliau turut menyeru pimpinan negeri agar tidak hanya merujuk krisis perlembagaan di Perak untuk dijadikan kayu ukur menggantikan Khalid dengan menteri besar baru.

“NGO ini dicadangkan untuk bercakap mengenai suara arus bawahan yang terdiri daripada orang kebanyakan yang selama ini tidak diberi ruang untuk menyampaikan apa yang terbuku.

“Kebanyakan kami bekas ahli PKR yang dipecat atau ada yang akan menarik diri sebagai ahli pada hari ini. Kami mendesak pihak terlibat menghentikan gerak yang tidak indah merosakkan pemikiran rakyat bawahan yang berkecamuk.

“Kami berharap pihak yang berkaitan merujuk set perundangan yang tepat dan diinterpretasi secara jelas.

“Bukan set yang tidak boleh digunakan seperti di Perak. Mereka mengaplikasikan apa yang berlaku di Perak di sini sedangkan ada set lain seperti di Sarawak dan sebagainya,” katanya.

Faisal berkata kebanyakan ahli Grabs kini sudah hilang kepercayaan terhadap PKR selepas Deklarasi Permatang Pauh tidak lagi dihormati dan ia dibuktikan dalam krisis menteri besar kali ini.

Katanya, PKR kini tidak lagi mendukung prinsip keadilan apabila dengan mudah memecat Khalid tanpa menerima alasan yang munasabah daripada Adun Pelabuhan Klang itu.

“PKR sudah tidak berpegang kepada rukun parti seperti Deklarasi Permatang Pauh yang menyatakan anti nepotisme, anti kronisme, menegakkan demokrasi, anti penyeksaan dan menegakkan keadilan.

“Keadilan apa yang diberikan kepada Khalid dengan sekali rayuan terus dipecat? Sedangkan Anwar diberi 67 kali rayuan dalam kesnya. Itu pemberatan yang harus dilihat jika mahu bercakap tentang keadilan,” katanya.

One thought on “Wan Azizah Kamu Bukan Orang Selangor, Jangan Ingat Boleh Jadi MB – NGO Bekas Ahli PKR

  • August 17, 2014 at 3:27 pm
    Permalink

    sentimen kenegerian perlu dihindari…kita adalah rakyat Malaysia…siapa yang memimpin adalah pilihan rakyat Malaysia…jangan jadi ‘katak di bawah tempurung’…senario politik telah berubah selari dengan kemajuan semasa…ingat ‘di mana bumi dipijak di situ langit dijunjung’…sayangilah sesama kita cintailah negaraku Malaysia.

    Reply

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.