Proses Pemulihan MAS Ambil Masa

Kuala Lumpur – Penyahsenaraian dan pengambilan sepenuhnya Malaysia Airlines (MAS) oleh Khazanah Nasional Berhad menjadi peluang terbaik untuk menstruktur dan menyusun semula syarikat penerbangan itu.

Bekas Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri, Tan Sri Rafidah Aziz berkata, Khazanah Nasional tidak dapat mengembalikan kedudukan MAS untuk mencatat keuntungan dengan cepat selepas penyusunan semula memandangkan wujud ketidaktentuan dalam pasaran antarabangsa selain persaingan sengit dalam industri penerbangan.

Beliau berkata, objektif pengambilalihan yang dilakukan adalah untuk mewujudkan syarikat yang lebih kukuh, entiti yang lebih mantap, yang memenuhi jangkaan industri yang penuh dengan persaingan sengit.

“Ini perlu dilakukan tanpa kawal aturan dan peraturan lain, jika ia masih sebuah syarikat senaraian awam, langkah yang penting memandangkan pada pendapat saya MAS mesti kekal menjadi kebanggaan negara.

“Kita mesti membawanya ke tahap yang membolehkan kita berbangga terhadap MAS sebagai syarikat penerbangan. Kita sudah terbiasa dengannya, terutama generasi saya,” kata Rafidah.

Khazanah Nasional dijangka membayar 27 sen sesaham atau RM1.38 bilion untuk mengambil alih baki 30.6 peratus saham yang tidak dimilikinya dalam MAS

Ditanya mengenai harga yang ditawarkan kepada pemegang saham minoriti itu, Rafidah enggan mengulas, namun berkata Khazanah Nasional sudah semestinya menjalankan penyelidikan ke atas nilai yang ditawarkannya dan orang ramai tidak perlu memperkatakannya.

Penyusunan semula perlu dilakukan secara menyeluruh supaya ia boleh disepadukan dalam entiti yang memberi perkhidmatan bukan saja kepada rakyat Malaysia, malah kepada dunia.

Bagaimanapun, pemulihan dari segi kewangan tidak dijamin sepenuhnya memandangkan industri penerbangan sangat kompetitif seperti yang dibuktikan oleh syarikat penerbangan tambang rendah yang menembusi industri itu secara besar-besaran, katanya.

Ini diburukkan lagi oleh ketidaktentuan kos disebabkan oleh peningkatan kos bahan api.

Berdasarkan senario ini, beliau berkata ia menjadi lebih mudah untuk memahami dan menerima hakikat jika MAS rugi berdasarkan faktor pasaran dan bukan disebabkan kelemahannya sendiri.

MAS mencatat kerugian bersih sebanyak RM433 juta dalam suku pertama tahun ini, 59 peratus lebih daripada RM279 juta kerugian yang dilaporkan dalam tempoh yang sama tahun lalu.

Selain kerugian kewangan, syarikat penerbangan nasional itu juga mengalami dua tamparan hebat apabila MH370 Boeing 777 hilang pada 8 Mac dan MH17 B777 lain ditembak jatuh di zon perang di timur Ukraine pada 17 Julai.

Rafidah berkata, bidang yang perlu diteliti bagi mencergaskan semula MAS termasuk struktur kewangan, pengurusan organisasi selain strategi perniagaannya.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.