Penyampai Radio ERA, Adi Fashla Kemalangan

Bentong – Penyampai radio Era, Adi Fashla Jurami, 36, retak bahu kiri selepas terbabit dalam kemalangan di Kilometer 47 Lebuhraya Karak arah Kuantan, dekat sini, pagi tadi.

Pengurus Saluran Era FM, Nazri Noran memberitahu, Adi yang kini masih berada di wad kecemasan di sebuah hospital mengalami kecederaan di bahu dan juga jari.

“Saya dihubungi Adi selepas dia terbabit dalam kemalangan pagi tadi. Buat masa ini, Adi masih berada di wad kecemasan di sebuah hospital. Saya tidak dapat beritahu hospital mana sebab Adi akan dipindahkan nanti.

“Akibat kemalangan tersebut bahu Adi terkehel dan satu jarinya patah,” jelasnya.

Dalam kejadian kira-kira jam 10 pagi itu, mangsa yang menunggang motosikal berkuasa tinggi terbabas sebelum melanggar penghadang jalan.

Ketua Polis Daerah Bentong, Superintendan Mohammad Mansor Mohammad Nor, berkata Adi Fashla dipercayai gagal mengawal motosikalnya sebelum terbabas ke kiri jalan.

Menurut Mansor, mangsa dikejarkan ke Hospital Bentong bagi mendapatkan rawatan.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.