Penghapusan Etnik: Israel Guna Bom Khas, Rosakkan Organ Pembiakan

Rafah – Israel dipercayai menggunakan sejenis bom yang dicipta khusus bagi merosakkan fungsi organ pembiakan penduduk Gaza sebagai salah satu cara untuk menghapuskan bangsa Palestin dalam tempoh jangka panjang.

Keadaan itu dapat dilihat kesannya kepada penduduk Gaza yang tercedera akibat serangan Israel, di mana hampir kesemua mangsa yang menerima rawatan susulan di Mesir mendapat kecederaan parah dari paras dada ke bawah.

Jenis kecederaan yang mereka alami juga sama iaitu melecur secara luar biasa, kerosakan di bahagian abdomen sehingga menyebabkan ramai mangsa terpaksa dipotong usus serta hancur tulang di bahagian kaki.

Menurut Pengarah Hospital Sungai Buloh, Datuk Dr. Khalid Ibrahim, hasil pemerhatian beliau ke atas puluhan mangsa yang mendapat rawatan di Mesir, adalah hampir pasti bahawa organ pembiakan mereka terutama lelaki telah rosak.

“Saya setuju dengan teori bahawa corak serangan yang membawa kepada kecederaan parah sedemikian rupa ada kaitan dengan cubaan Israel untuk memastikan bangsa Palestin tidak mampu melahirkan generasi baharu.

“Ini kerana kadar lecuran dan luka pada badan mangsa bukan sahaja menyebabkan kecacatan luaran tetapi turut merosakkan alat kelamin dan saraf yang menyokong organ pembiakan,” katanya kepada Mingguan Malaysia di sini hari ini.

Khalid berkata demikian ketika dilontarkan persoalan apakah beliau setuju dengan teori bahawa serangan Isreal selain bertujuan membunuh juga mahu memastikan kerosakan organ pembaikan penduduk Gaza yang tercedera.

Beliau yang merupakan pakar kesihatan awam dan pengurusan bencana merupakan salah seorang sukarelawan misi kemanusiaan Malaysia ke Gaza diketuai Kelab Putra 1Malaysia pimpinan Datuk Seri Abdul Azeez Abdul Rahim.

Mengulas lanjut, Khalid berkata, beliau mengesyaki wujudnya kandungan tertentu dalam bom yang digunakan Isreal jika melihat kepada keadaan kecederaan semua mangsa walaupun tidak dapat dibuktikan secara pasti.

“Ada sesuatu dalam kandungan bom yang diguna tentera Israel kerana kecederaan semua mangsa agak pelik di mana terdapat demarcation line (garisan sempadan) terhadap setiap lecuran di badan mereka,” katanya.

Sementara itu, Penasihat Kesihatan Kelab Putra 1Malaysia, Dr. Mohd. Kassim Abdul Rahim juga bersetuju bahawa Israel mahu memastikan mangsa yang cedera tidak lagi boleh melahirkan zuriat baharu Palestin khususnya di Gaza.

Katanya, kezaliman itu bukan sesuatu yang pelik bagi Israel kerana rejim Zionis itu telah melakukan pelbagai kaedah di luar batasan kemanusiaan khususnya ke atas wanita bagi memastikan tiada generasi baharu dilahirkan.

“Israel juga mahu memastikan penduduk Gaza yang cedera ini cacat seumur hidup bagi memastikan mereka tidak memiliki keupayaan untuk bangkit menentang Zionis dan membebaskan Palestin,”katanya.

Artikel Penuh: http://utusan.com.my/utusan/Dalam_Negeri/20140817/dn_02/Senjata-Israel-rosak-organ-pembiakan#ixzz3AaLtvu92
© Utusan Melayu (M) Bhd

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.