Pelajar UiTM Meninggal, Jatuh Dari Tingkat 4

Shah Alam –  Seorang penuntut jurusan Sains Asasi di Universiti Teknologi MARA (UiTM) Kampus Puncak Alam di sini, meninggal dunia selepas terjatuh daripada tingkat empat asrama dihuninya jam 9 malam kelmarin.

Menurut rakan mangsa yang tinggal berhampiran biliknya, mangsa, Mohd Ilyas Saifullah Md Ashari, 19, dikatakan cuba memasuki biliknya melalui tingkap kerana mendapati pintu biliknya terkunci.

Rakan mangsa yang enggan dikenali itu berkata, ketika memanjat daripada tingkap bilik sebelah untuk ke biliknya, mangsa tergelincir sebelum terjatuh daripada ketinggian kira-kira 30 meter.

“Ketika tiba di lokasi kejadian, saya dapati Mohd Ilyas Saifullah sudah dibawa ke hospital dengan ambulans dan mendapati tempat di mana dia jatuh dipenuhi dengan kesan darah,” katanya.

Difahamkan, sebelum kejadian, penuntut semester satu itu sedang menunggu ketibaan bapanya untuk menjemputnya pulang ke rumah sebelum naik ke asrama di Kolej Angsana 3 bagi mengambil barang namun mendapati biliknya terkunci.

Sekumpulan penuntut yang berada di tempat kejadian melaporkan kejadian kepada warden yang kemudiannya mendapatkan ambulans dan memaklumkan kepada pengurusan UiTM serta polis.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Sungai Buloh Superintendan Junaidi Bujang berkata, siasatan awal polis mendapati tiada unsur jenayah dalam kejadian terbabit dan kes diklasifikasikan sebagai mati mengejut.

“Mangsa disahkan meninggal dunia ketika tiba di Hospital Sungai Buloh akibat kecederaan parah di kepala,” katanya ketika dihubungi.

One thought on “Pelajar UiTM Meninggal, Jatuh Dari Tingkat 4

  • August 17, 2014 at 7:33 am
    Permalink

    Innalillah…….takziah

    Reply

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.