Pakatan Kekalkan Wan Azizah Calon Tunggal MB Selangor

Subang – Majlis Pimpinan Pakatan Rakyat hari ini memutuskan Datin Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail kekal sebagai calon tunggal Menteri Besar Selangor bagi menggantikan Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim sekaligus menolak keputusan PAS untuk mencalonkan Mohamed Azmin Ali sebagai calon kedua menteri besar Selangor.

Perkara itu diumumkan Ketua Umum PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim pada sidang media sebentar tadi yang turut di hadiri Setiausaha Agung DAP, Lim Guan Eng serta Timbalan Presiden PAS, Mohamad Sabu.

Azmin muncul sebagai calon kedua menteri besar Selangor selepas Jawatankuasa PAS Pusat yang bermesyuarat pada Ahad memutuskan supaya beliau turut dipertimbangkan sebagai calon berpotensi.

Sementara itu Timbalan Presiden PAS, Mohamad Sabu berkata, parti itu akur dengan keputusan untuk hanya menamakan Dr Wan Azizah sebagai calon menteri besar.

“Setelah bermesyuarat, YB Azmin patuhi partinya. Jadi kita akan teruskan (sokong Dr Wan Azizah),” katanya ringkas.

Susulan keputusan itu, Anwar berkata pimpinan pakatan itu akan meneruskan proses menyembahmaklum ketetapan yang dicapai kepada baginda Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah dalam masa terdekat.

“Majlis Pimpinan (Pakatan) juga mengambil maklum dan menghargai pencalonan Wan Azizah dan Azmin Ali untuk jawatan menteri besar.

Sementara itu, Timbalan Presiden PKR, Mohamad Azmin Ali yang hadir pada sidang media itu memaklumkan beliau patuh kepada keputusan parti menyokong Wan Azizah biarpun dicadangkan PAS sebagai calon kedua, pagi tadi.

“Bagaimanapun Azmin menegaskan bahawa beliau kekal menyokong keputusan PKR untuk menamakan Wan Azizah sebagai calon menteri besar baru Selangor,” kata Ketua Umum PKR Datuk Seri Anwar Ibrahim dalam sidang media sebentar tadi.

Mesyuarat PKR sebelum itu telah memutuskan untuk tetap menyokong Wan Azizah seperti yang diputuskan parti 21 Julai lalu.

PAS pada tengah hari telah meminta satu lagi nama iaitu Azmin untuk dicalonkan sebagai menteri besar bersama Wan Azizah.

Justeru Anwar berkata PKR akan meneruskan proses memohon menghadap sultan Selangor untuk mempersembahkan keputusan itu kepada baginda secepat mungkin.

Timbalan Presiden PAS Mohamad Sabu berkata PAS akur dengan keputusan itu selepas Azmin bersetuju mengikut keputusan parti.

“Dua calon dah ada di sini dan selepas mesyuarat tadi Azmin hormati keputusan partinya,” kata Mohamad ringkas.

 

Azmin: Parti lebih penting

Sementara itu, Azmin ketika ditemui media menegaskan partinya dan Pakatan lebih penting berbanding siapa yang menjadi menteri besar.

“Bagi saya, parti diutamakan. Saya beritahu rakan sejawat saya (dalam mesyuarat) kita mesti bekerja sedaya upaya untuk Pakatan.

“Saya amat percaya selepas krisis ini Pakatan dan PKR akan bertambah kuat,” kata beliau.

Azmin turut menafikan khabar angin beliau bertegas mahukan jawatan itu.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.