MH17: Adik Ketua Pramugari Kata Sedia Sambut Jenazah Kakak

Kuala Lumpur – Sementara Putrajaya berusaha membawa pulang mayat penumpang warganegara Malaysia serta anak kapal Malaysia Airlines (MAS) MH17 yang ditembak jatuh di timur Ukraine bulan lepas, keluarga ketua pramugari Azrina Yakob selesai membuat persediaan upacara pengebumian di perkampungan suaminya di Taiping, Perak.

“Kami semua bersedia menyambut kepulangannya apabila sampai masanya untuk bawa kembali jenazahnya,” kata adik lelaki Azrina, Firdaus.

Mayat 16 penumpang yang dikenalpasti pihak berkuasa daripada bedah siasat di Belanda dijangka tiba pada 22 Ogos.

Malaysia mengumumkan hari berkabung bagi mangsa MH17 pada hari tersebut.

“Ibu mertua serta abang ipar saya mungkin akan ke Amsterdam sebelum itu supaya dapat membuat pengecaman terakhir. Namun itu belum tetap lagi,” kata Firdaus.

Dia berkata keluarganya bersetuju supaya jenazah Azrina dikebumikan di kampung suaminya di Taiping.

“Kami rasa lebih senang begitu memandangkan suaminya sudah berpindah ke Taiping,” kata Firdaus yang bongsu daripada 4 orang adik-beradik.

Azrina, 41 merupakan salah seorang ketua pramugari dalam penerbangan MH17. Seorang lagi ialah Dora Shahila Kassim, 47.

Azrina meninggalkan suaminya Mohd Rafiz Mohd Tahir dan dua orang anak mereka, Arissa Raisya, 3, dan Aqil Rais, 6.

Pihak berkuasa mengatakan 15 daripada 16 mayat yang dikenalpasti adalah warganegara Malaysia dan satu lagi warganegara Belanda yang meminta untuk dikebumikan di Malaysia.

Sekurang-kurangnya dua wanita Malaysia dalam pesawat tersebut diketahui mengahwini warganegara Belanda.

24 daripada 43 rakyat Malaysia dapat dikenalpasti penyiasat Belanda selepas hampir sebulan pesawat yang membawa 298 penumpang itu ditembak pada 17 Julai, disyaki oleh peluru berpandu darat.

“Nama mangsa akan dikeluarkan pada hari mereka sampai ke Malaysia,” kata Timbalan Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin pada Khamis, menurut laporan Bernama.

Sementara itu, Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat Datuk Seri Rohani Abdul Karim menggesa ahli keluarga mangsa MH17 tidak melihat mayat mereka kerana ia tidak sempurna.

“Ini kerana mayat-mayat tersebut bukan dalam keadaan sempurna dan lebih baik jika ahli keluarga mereka mengingati mereka dalam rupa yang paling elok,” beliau dipetik berkata oleh The Star.

Namun, katanya, mereka masih boleh melihat mayat yang tersayang jika mereka mahu.

Menurut laporan The Star, upacara agama akan dilakukan ke atas mangsa mengikut kepercayaan masing-masing, termasuklah memandikan mayat bagi yang beragama Islam.

Rohani berkata mayat tersebut kemudian akan dibungkus vakum sebelum dimasukkan dalam keranda dan dihantar pulang.

Mangsa akan diberikan upacara penuh adat di Kompleks Bunga Raya Lapangan Terbang Kuala Lumpur (KLIA) selepas sampai di negara pada Jumaat.

Berita Harian melaporkan daripada 16 mangsa, 6 beragama Islam, 4 agama Kristian, 4 penganut Buddha, satu penganut Sikh dan satu agama Hindu.

Mangsa pertama yang dikenalpasti adalah Elaine Teoh, 27 dari Pulau Pinang. Dia dipercayai mangsa rakyat Malaysia pertama yang dikenalpasti pakar bedah siasat Belanda, menurut laporan The Star minggu lepas.

Akhbar tersebut mengatakan teman lelaki Belanda Elaine, Emiel Mahler yang berusia 27 tahun yang juga dalam pesawat tersebut, belum lagi dikenalpasti.

Laporan tersebut mengatakan Teoh dan Mahler bekerja di sektor kewangan di Melbourne dan dalam perjalanan ke Kuala Lumpur selepas bercuti di Portugal dan Belanda.

Selain daripada rakyat Malaysia, lain-lain mangsa dalam pesawat MH17 juga dari Belanda, Australia, Indonesia, Britain, Jerman, Belgium, Filipina, Kanada dan New Zealand.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.