Krisis MB Selangor Pengajaran Buat Semua

Kuala Lumpur – Kemelut politik di Selangor selama beberapa bulan harus menjadi pengajaran kepada semua rakyat Malaysia kata Timbalan Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin.

Muhyiddin berkata ‘drama panjang’ di Selangor menarik untuk ditonton, namun sebagai akibat, rakyat di negeri ini yang benar-benar merasai penderitaannya.

“Ini hanya sebuah negeri di negara ini, dan mereka (Pakatan Rakyat) sedang dalam proses merebut kuasa.

“Ini adalah memalukan. Mereka tidak dapat menyelesaikannya dan ia telah berlarutan sekian lama,” kata Muhyiddin dalam ucapan pembukaannya di Persidangan Perhimpunan Agung Kongres India Muslim Malaysia (Kimma) ke-38 di Pusat Dagangan Dunia Putra.

Beliau berkata walaupun pembangkang mempunyai orang yang berkelayakan, namun masih tidak mampu menyelesaikan pergolakan yang melanda negeri ini untuk tempoh beberapa bulan.

Muhyiddin berkata krisis seperti ini adalah satu pengajaran kepada semua orang termasuk Barisan Nasional (BN).

“Inilah sebabnya mengapa kita mahu menjadi lebih baik, kita mahu menyelesaikan masalah-masalah rakyat,” katanya.

Merujuk kepada krisis air Selangor, Muhyiddin berkata kerajaan Persekutuan bertindak untuk membantu menyelesaikan masalah ini dengan menandatangani memorandum persefahaman bagi projek Langat 2.

“Itulah yang dikatakan Kerajaan, untuk membantu rakyat,” kata Muhyiddin yang juga timbalan presiden BN.

Beliau berkata, empat tahun akan datang akan menjadi lebih mencabar, oleh itu penting untuk setiap parti komponen dalam BN dan juga parti-parti sekutu bekerjasama dan mendapat sokongan rakyat.

Muhyiddin berkata, beliau mahu anggota Kongres India Muslim Malaysia (KIMMA) supaya berfikiran jauh dan mengemukakan idea dan inisiatif terbaik atau ‘wow factor’ demi kesejahteraan rakyat.

Beliau berkata, ini supaya rakyat dapat melihat bahawa KIMMA yang juga anggota gabungan UMNO, bersungguh-sungguh dalam melakukan sesuatu yang lebih daripada biasa untuk pembangunan negara dan masyarakat negara ini.

“Situasi sekarang tidak sama, kita perlu berfikir sesuatu yang lain, kita perlu bertindak dengan serius. Ada kalangan kita kena berfikir lebih, kemudian duduk sama-sama dan berikan inisiatif baharu untuk dikemukakan kepada kerajaan dan parti supaya rakyat jadi teruja dengan ‘wow factor’ baharu dalam Barisan Nasional (BN),” katanya.

Muhyiddin turut menjelaskan ahli KIMMA juga perlu selalu turun melihat masalah rakyat serta membantu UMNO dan BN menambah sokongan rakyat kepada BN menjelang pilihan raya umum (PRU) akan datang.

“Ini cabaran besar, tolong tengok ke bawah daftar pemilih, setiap ahli mesti mengundi, dengar masalah rakyat. Kita bukan raja walaupun ada yang namanya Raja, kita adalah ‘hamba masyarakat’, jumpa mereka tanya apa lagi yang boleh dibuat untuk mereka,” tegas beliau.

Sambil mengucapkan terima kasih kepada KIMMA yang banyak memainkan peranan dan membantu BN khususnya ketika PRU-13 dan pilihan raya kecil, beliau bagaimanapun berkata usaha lebih keras masih perlu dilakukan.

“Ada orang tanya saya bolehkah kita berkhidmat sebagai sebuah kerajaan pada pilihan raya akan datang, saya kata boleh dengan syarat iaitu kita kena kerja keras supaya lebih ramai orang akan sokong kita.

“Yang tidak sokong kita, tidak boleh salahkan mereka, mungkin salah diri kita,” kata Muhyiddin sambil menekankan keperluan menghindari perasaan terlalu yakin, sifat sombong, lupa tugas dan tanggungjawab serta pemikiran UMNO dan BN tidak mungkin kalah.

“Hari ini rakyat lebih tahu, jangan kita tipu rakyat, setiap rakyat di Malaysia serba tahu. Kalau kita tak bagi tahu mereka pun sudah tahu kerana maklumat kini hanya di hujung jari,” katanya.

Muhyiddin berkata, kuasa politik yang diberi kepada BN pada PRU-13 bukan sahaja mesti dipertahankan malah diperkukuhkan lagi.

Timbalan Perdana Menteri berkata, dalam negara menghadapi dugaan besar dengan insiden kehilangan pesawat Malaysia Airlines (MAS) Penerbangan MH370 dan nahas MH17, rakyat perlu bersatu dan menepis cubaan pihak tertentu menimbulkan perbalahan dan perpecahan.

“Kita belajar daripada sejarah dan lihat apa yang berlaku di negara lain termasuk negara Islam di dunia yang berdepan pancaroba seperti di Gaza, Syria dan Afghanistan,” katanya.

Mengulas beberapa usul yang dikemukakan KIMMA, Muhyiddin berkata pertubuhan itu boleh memohon untuk diterima menjadi parti komponen BN dan perkara itu akan dibawa ke Majlis Tertinggi BN untuk membuat keputusan.

“Walaupun belum diterima jadi anggota BN tetapi semangat mereka sudah menjadi semangat BN, terima kasih kerana bersama-sama dengan BN,” katanya.

Mengenai usul supaya seorang wakil KIMMA dilantik sebagai ahli majlis kerajaan tempatan di setiap daerah, Muhyiddin berkata perkara itu boleh dimohon kepada kerajaan tempatan dan keputusan akan dibuat sama ada parti komponen memberi laluan untuk mereka atau tidak.

Beliau berkata, kerajaan juga telah meluluskan peruntukan RM2 juta yang akan dimasukkan ke dalam Yayasan Kemajuan Islam Nasional (YAKIN) untuk tabung pendidikan KIMMA.

Berhubung permohonan KIMMA untuk mendapatkan sebidang tanah bagi membina ibu pejabat kongres itu, Muhyiddin berkata perkara itu boleh dimohon kepada pihak Jawatankuasa Tanah Wilayah berkenaan.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.