Khalid Mohon Nasihat Baginda Tuanku Sultan Untuk Langkah Seterusnya

Shah Alam – Menteri Besar Selangor Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim akan memohon menghadap Sultan Selangor Sultan Sharafuddin Idris Shah untuk mendapatkan nasihat baginda tentang langkah seterusnya untuk diambil berikutan keputusan terbaru PAS hari ini.

Beliau berkata menerima dengan hati terbuka keputusan PAS Pusat berkenaan status menteri besar dan barisan Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri Selangor (Exco) yang dibuat melalui mesyuarat selama 90 minit pagi ini.

“Dengan perkembangan terbaru ini, saya akan memohon menghadap Sultan Selangor untuk memberi nasihat tentang langkah-langkah seterusnya.

“Sehingga Sultan membuat keputusan muktamad, saya akan meneruskan pentadbiran kerajaan Negeri Selangor bersama 4 ahli Exco daripada PAS bagi memastikan rakyat tidak terkesan dengan krisis politik ini,” katanya dalam satu kenyataan.

Pada mesyuaratnya pagi ini, PAS memutuskan bersetuju dengan pilihan PKR melantik Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail menggantikan Khalid.

Parti Islam itu juga turut menyerahkan nama Timbalan Presiden PKR Mohamed Azmin Ali sebagai nama calon lain untuk diangkat menjadi menteri besar.

Dua nama itu kemudiannya akan ditentukan dalam mesyuarat Pakatan Rakyat yang dijadualkan berlangsung petang ini, menurut Timbalan Presiden PAS Mohamad Sabu membaca kenyataan yang ditandatangani Presiden PAS Datuk Seri Abdul Hadi Awang.

 

Berikut kenyataan akhbar Khalid berhubung isu ini.

KENYATAAN MEDIA
17 OGOS 2014

SAYA AKAN MOHON MENGHADAP DYMM SULTAN SELANGOR BERKENAAN STATUS MENTERI BESAR

Saya menerima dengan hati terbuka keputusan Parti Sa-Islam Malaysia (PAS) berkenaan status Menteri Besar dan barisan Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri Selangor.

Dengan perkembangan terbaharu ini, saya akan memohon menghadap DYMM Sultan Selangor untuk memberi nasihat tentang langkah-langkah seterusnya.

Sehingga DYMM Sultan membuat keputusan muktamad, saya akan meneruskan pentadbiran kerajaan Negeri Selangor bersama 4 ahli MMKN daripada PAS akan meneruskan pentadbiran bagi memastikan rakyat tidak terkesan dengan krisis politik ini.

Saya mengucapkan terima kasih kepada rakan-rakan dan semua rakyat Selangor atas sokongan dalam usaha bersama untuk menjayakan agenda reformasi di Selangor.

Saya juga berterima kasih atas kesabaran semua pihak dalam penyelesaian isu dan perkembangan-perkembangan terkini mengikut tatacara yang betul dan berasaskan undang-undang.

Insya’Allah, rakyat Selangor akan terus dipelihara dan diberkati Allah SWT.

TAN SRI DATO’ SERI ABDUL KHALID IBRAHIM
YAB DATO’ MENTERI BESAR SELANGOR

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.