Kediaman Cliff Richard Digeledah Kerana Kes Serangan Seksual

United Kingdom – Kediaman penyanyi terkenal Cliff Richard diperiksa polis, atas tuduhan melakukan serangan seks ke atas seorang remaja lelaki pada 1985, lapor berita Sky News.

Satu waran geledah telah dikeluarkan, selepas tuduhan melakukan serangan seksual ke atas remaja lelaki berusia 16 tahun ketika itu, difailkan.

Pegawai polis memasuki kediaman penyanyi berusia 73 tahun itu yang terletak di kawasan Sunningdale, Berkshire, pada pagi Khamis lalu.

Lapan pegawai dari South Yorkshire dan Thames Valley menyertai pemeriksaan yang mengambil masa lima jam, bermula kira-kira jam 10.30 pagi.

Menurut jurucakap polis, buat masa ini, tiada individu yang ditahan dan siasatan masih di peringkat awal.

Sementara itu, Richard yang menafikan tuduhan itu, menyifatkannya sebagai dakwaan palsu.

“Buat masa ini, saya memilih untuk tidak memberi komen tentang apa yang berlaku, kerana ia hanya menguntungkan pihak pendakwa.

“Tetapi, apa yang saya terkilan, polis telah memasuki dan memeriksa kediaman saya tanpa memberi sebarang notis,” katanya.

Buat masa ini, penyanyi itu tidak berada di United Kingdom, tetapi berjanji akan memberi kerjasama sepenuhnya dengan pihak polis.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.