KUALA LUMPUR- Jawapan bertulis oleh Ustaz Don sedang diteliti Jawatankuasa Tauliah, Majlis Agama Islam Selangor (MAIS) selepas ia diterima mereka pada 9 Julai lalu selepas diarahkan berbuat demikian oleh Jabatan Agama Islam Selangor (JAIS).
Pengerusi MAIS, Tan Sri Abdul Aziz Mohd. Yusof berkata, selepas penelitian dibuat, pihaknya akan memanggil pendakwah selebriti itu untuk pertemuan secara fizikal dalam masa terdekat.
“Status kronologi terkini kes Ustaz Don Daniyal, jawaban bertulis diterima oleh Setiausaha Jawatankuasa Tauliah.
“Beliau akan hadir untuk Sesi Pendengaran secara fizikal selepas jawabannya diteliti oleh pihak jawatankuasa.InsyaAllah kita akan buat keputusan seadil-adilnya,” katanya pada Majlis Pelancaran Kad Hibah sempena Seminar Hibah: ‘Sayang Jangan Sampai Melayang’, lapor Utusan di Shah Alam pada Rabu.
Terdahulu, JAIS mengarahkan pendakwah selebriti Ustaz Don Daniyal atau nama sebenarnya mengemukakan kenyataan bertulis kepada Jawatankuasa Tauliah MAIS berhubung fakta-fakta dalam ceramah agama dibuatnya.
Arahan tersebut dikeluarkan selepas jawatankuasa tersebut bermesyuarat semalam dan memutuskan demikian selaras dengan Peraturan 17 (b), (d) dan (f) Peraturan-Peraturan Tauliah (Selangor) 2008.
Pengarah JAIS, Datuk Mohd. Shahzihan Ahmad berkata, Ustaz Don atau nama sebenarnya Don Daniyal Don Biyajid diarahkan demikian bagi membolehkan penarikan semula tauliah oleh jawatankuasa tidak dilaksanakan terhadapnya.
Mengulas lanjut Abdul Aziz memberitahu,pada 24 Julai depan pihaknya akan mengadakan Mesyuarat Khas Jawatankuasa Tauliah bagi memutuskan beberapa isu aduan termasuk hal berkaitan Ustaz Don dan beberapa pendakwah bertauliah negeri ini.
“Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah bertitah supaya Jawatankuasa Tauliah membuat penilaian dengan amat teliti dan menyeluruh supaya apabila kita sudah mengeluarkan tauliah kita tidak mahu penceramah atau pengajar berkenaan mengajar perkara yang tidak sebagaimana (dinyatakan) semasa temuduga dan perbincangan.
“Kadang-kadang ada yang berlawanan dengan ajaran Ahli Sunnah Wal Jamaah. Sultan Selangor maklumkan kepada saya supaya Jawatankuasa Tauliah berhati-hati untuk mengeluarkan tauliah-tauliah kepada mana-mana penceramah,” tegasnya.