Waktu Beku Akaun Najib Diumum Besar-Besaran, Bila Tarik Balik SPRM Diam – NGO

KUALA LUMPUR – Tindakan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) membekukan akaun bank bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak jelas tidak mengikut peraturan apabila agensi itu hanya berdiam diri apabila akaun peribadi itu tidak lagi dibekukan mulai semalam.

Pengerusi Sekretariat Solidariti DS Najib, Datuk Mohd. Razlan Rafii berkata, sekira ada pengumuman dan publisiti besar-besaran oleh SPRM berkenaan pembekuan sebelum ini, sepatutnya ada juga pengumuman rasmi oleh pihak berkuasa berkenaan dengan pelepasan itu.

Katanya, ini menunjukkan bahawa tindakan SPRM mengarahkan Bank Negara untuk membekukan akaun adalah salah dan tidak mengikut peraturan.

“Saya menerima banyak pesanan daripada pelbagai pihak yang mahu terus membantu Datuk Seri Najib dalam menguruskan kehidupan beliau sehingga bulan Februari iaitu tarikh mula bicara berkenaan kes beliau,” katanya dalam satu kenyataan, di sini hari ini. 


Katanya, cerita anak Najib yang menghidap kanser juga telah menimbulkan rasa simpati rakyat kepada keluarga bekas Perdana Menteri itu.

“Justeru itu, pihak berkuasa yang bekerja kepada kerajaan hari ini perlu bebas melaksanakan tanggungjawab mereka dan jangan ada rasa takut dengan kerajaan.

“Tindakan yang dikenakan terhadap keluarga bekas Perdana Menteri adalah satu bentuk tekanan politik yang berlebihan, SPRM dan polis bertindak seumpama sudah menghukum sebelum mahkamah menjatuhkan hukuman.

“Kita tidak mahu ada tangan-tangan ghaib yang mengarahkan tindakan pembekuan akaun ini dilakukan walaupun tidak ada punca kuasa dan sebab yang mengikut peraturan akhirnya menindas si mangsa,” katanya.

Justeru, Mohd. Razlan meminta agar pihak berkuasa memberi penjelasan terhadap tindakan mereka dan memberi jaminan tidak ada lagi akaun dibekukan tanpa mengikut prosedur yang sebenarnya. – UTUSAN

One thought on “Waktu Beku Akaun Najib Diumum Besar-Besaran, Bila Tarik Balik SPRM Diam – NGO

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.