Video: Manifesto Bukan Bible, Kata Dr Mahathir

KUALA LUMPUR – Perdana Menteri, Tun Dr. Mahathir Mohamad mene­gaskan, manifesto Pakatan Harapan bukan seperti kitab Bible, sebaliknya ia hanya panduan semata-mata.

Beliau berkata, atas sebab itu terdapat beberapa perkara yang kerajaan tidak boleh laksanakan seperti yang digariskan dalam manifesto Pakatan Harapan.

“Untuk beberapa sebab tertentu kita tidak boleh mematuhi manifesto sebenar, tolong ingat manifesto itu bukanlah sebuah Bible.

“Ia adalah panduan, kadang-kadang kita melakukan sesuatu dan kadang-kadang kita tidak boleh, jadi kita harus berfikiran praktikal,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas upacara mengangkat sumpah angkat sumpah ahli-ahli Dewan Rakyat bagi Mesyuarat Pertama Penggal Pertama Parlimen Ke-14.

Beliau diminta mengulas me­ngenai pelantikan Yang Dipertua Dewan Rakyat yang sepatutnya dalam kalangan ahli Parlimen selaras dengan manifesto Pakatan Harapan.

Jelas Dr. Mahathir yang juga Ahli Parlimen Langkawi, beliau percaya pelantikan Datuk Mohamad Ariff Md. Yusof sebagai Yang Dipertua Dewan Rakyat lebih disukai masyarakat kerana bebas daripada pengaruh mana-mana parti politik.

“Saya fikir orang awam suka mempunyai seseorang yang tidak berkaitan dengan mana-mana pihak,” katanya.

Dalam pada itu, beliau turut menyifatkan tindakan barisan pembangkang keluar dari Dewan bagi memprotes prosedur pelantikan Yang Dipertua Dewan Rak­yat sebagai sandiwara.

“Oh, itu sandiwara, mereka berlakon semata-mata. Ini kali pertama bekas Perdana Menteri berjalan kaki, jadi sekarang beliau tahu maksud apabila orang berjalan sebelum ini,” katanya

Sementara itu, ketika ditanya sama ada surat pelantikan Yang Dipertua Dewan Rakyat boleh dipertikaikan kerana mempunyai dua tarikh berbeza, Dr. Mahathir menafikannya.

“Tidak, tidak, tidak… tiada sebarang perkara seperti itu. Surat itu telah disediakan awal, apabila saya tanda tangan saya letak tarikhnya,” katanya. – UTUSAN

4 thoughts on “Video: Manifesto Bukan Bible, Kata Dr Mahathir

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.