FELDA United Rangkul Juara Liga Perdana

KUCHING – Misi FELDA United untuk menjuarai Liga Perdana menjadi kenyataan selepas menewaskan Sarawak 3-1 di Stadium Negeri, Petra Jaya, hari ini.

Kejayaan menakluk liga kedua negara itu membolehkan skuad The Fighters kembali ke saingan Liga Super musim depan.

Skuad bimbingan B Sathianathan itu tidak menunggu lama untuk mendahului tuan rumah apabila penyerang import, Gilberto Fortunato meletakkan pasukannya di depan pada minit ke-5.

Pelawat terus menambah derita Sarawak dengan gol kedua yang dihasilkan Thiago Agusto pada minit ke-39.

Tersentak dengan dua jaringan awal pelawat, skuad Bujang Senang kembali mengatur gerak bagi memburu jaringan.

Anak buah Andrew Gillan cuba bangkit melawan dan melakukan beberapa siri serangan namun tetap gagal menembusi gawang FELDA United.

Usaha tidak mengenal penat Sarawak akhirnya membuahkan hasil apabila Mateo Roskam merapatkan kedudukan 1-2 pada babak kedua.

Bagaimanapun, FELDA United membuktikan keunggulannya dan bermula daripada serangan balas pantas, Gilberto Valdenesio meletakkan pasukannya semakin selesa dengan kedudukan 3-1 pada minit ke-66.

Dengan keputusan itu, FELDA United kini mengumpul 41 mata selepas 18 perlawanan manakala Sarawak pula akan terus bermain di Liga Perdana musim depan. – BH

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.