FAMA Cari Kaedah Kawal Lambakan Buah Durian, Elak Harga Terlalu Rendah

MELAKA – Lembaga Pemasaran Pertanian Persekutuan (FAMA) akan memastikan lambakan buah-buahan tempatan terutamanya durian tidak akan menjejaskan sumber pendapatan golongan peladang di negeri ini.

Pengarah FAMA negeri, Che Samudin Hassan berkata, walaupun berlaku lambakan, pihaknya akan berusaha mencari kaedah untuk membolehkan penjual memasarkan hasil tanaman itu kepada pembeli.

“Kita ada menerima beberapa rungutan daripada peladang-peladang yang menyuarakan kebimbangan mereka mengenai masalah lambakan durian yang sekiranya tidak diatasi akan menyebabkan hasil tanaman itu tidak dapat dijual selain kejatuhan harga sehingga terlalu rendah.

“Namun keadaan ini masih terkawal kerana musim durian hanya melibatkan negeri di selatan seperti di Melaka dan Johor manakala durian di Pahang dijangka akan mengeluarkan hasil menjelang Ogos ini,” katanya dalam sidang akhbar di Pejabat FAMA di sini.

Che Samudin berkata, sebagai langkah awal, FAMA negeri akan mengadakan jualan dan karnival di tempat-tempat terpilih yang mudah diakses oleh penggemar raja buah itu.

Katanya, turut diadakan Karnival ‘Melaka Durian Street’ yang akan memasarkan lebih 78 metrik tan pelbagai buah-buahan bermusim di tapak parkir Pusat Dagangan Antarabangsa Melaka (MITC) bermula Selasa ini hingga 29 Julai ini.

“Karnival ini bermula pada pukul 10 pagi hingga 10 malam dan durian pelbagai baka seperti Musang King, IOI, D13, Kucing Tidur dan D18 dijual pada harga antara RM10 hingga RM35 sekilogram.

“Turut dijual buah-buahan bermusim lain antaranya manggis, cempedak, rambutan dan pulasan pada harga RM4 hingga RM8 seki­logram,” katanya.

Dalam pada itu pihaknya turut me­nyasarkan nilai jualan antara RM800,000 hingga RM900,000 selain kehadiran kira-kira 30,000 pengunjung termasuk pelancong luar negara pada acara itu.

“Turut diadakan happy hour atau jualan harga runtuh dua kali setiap hari selama satu jam iaitu dari pukul 5 hingga 6 petang dan 9 hingga 10 malam,’’ katanya.

Beliau berkata, acara itu juga akan memperkenalkan baka durian baharu iaitu durian cinta D201 dan durian darling D197 yang hanya terdapat di ladang di Ayer Molek. – UTUSAN

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.