Video : ‘Siapa Syed Saddiq Mahu Bercakap Pasal Felda?’ – Razali Ibrahim

PUTRAJAYA – “Saya tak pasti berapa banyak Felda dia dah pergi saya tak tahu kalau dia (Syed Saddiq) tahu apa sebenarnya pasal Felda,” kata Timbalan Menteri Di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Razali Ibrahim.

Beliau berkata demikian selepas diminta mengulas mengenai dakwaan Ketua Armada Bersatu, Syed Saddiq Syed Abdul Rahman berhubung penolakan warga Felda yang merupakan kubu kuat Barisan Nasional (BN) pada Pilihan Raya Umum (PRU) akan datang.

“Sebagai orang politik, tambah pula mengetuai orang muda ayat itu mesti dikeluarkan sebab dia nak yakinkan bahawa Felda bersama dia, dan saya tak pasti dengan siapa dia bercakap dan asas kepada dakwaan tersebut.

“Saya lihat dia buat program di kawasan rancangan ada mendapat tentangan dengan kehadiran yang tidak ramai. Dan asas pada dakwaan itu adalah serangan politik. Memang terpaksa dia sebut takkan dia nak kata kawasan Felda masih kuat BN,”katanya dalam temubual bersama SuaraTV di pejabatnya di sini, hari ini.

Tambahnya, beliau tidak mahu melayan sebarang kenyataan yang disifatkan sebagai buang masa dan tidak berasas.

“Saya tak minat nak layan kenyataan-kenyataan yang macam tu kerana saya lebih berminat mencari kaedah menyelesaikan masalah peneroka,”ujarnya.

Dalam pada itu, mengulas mengenai keyakinan dan sokongan warga Felda kepada kerajaan atau BN Razali berkata, sokongan itu masih lagi kuat kepada kerajaan BN.

Malah ada yang menyatakan sokongan mereka dengan mempamerkan kain rentang menghadiri program dan memperlihatkan sokongan yang padu kepada kerajaan hari ini.

Sementara itu ditanya mengenai usaha dan langkah yang bakal diambil bagi meningkatkan taraf hidup Felda menjelang Transformasi Nasional TN50, beliau berkata, Felda akan memastikan seluruh warganya tetap teguh mendukung aspirasi kerajaan dan sebarang usaha yang dilaksanakan oleh Felda adalah selari dengan dasar TN50.

“Selama 60 tahun Felda wujud agenda melestarikan kehidupan peneroka yang asalnya warga miskin sentiasa menjadi agenda utama,”katanya yang turut menekankan komuniti peneroka merupakan aset penting dalam memacu masa depan negara.-SuaraTV

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.