Video : Ibu Dakwa Anak Ditumbuk Guru

PUTRAJAYA – Seorang ibu mendakwa anaknya, 9, ditumbuk di kepala oleh seorang guru sebuah sekolah kebangsaan di sini, pada Selasa lalu.

Nur Syaheerah Sutchira Abdullah, 32, berkata anaknya mengalami pening dan loya sejak kejadian itu.

Difahamkan kejadian itu berlaku di dalam kelas apabila anaknya, Adam Mikhael Mubasshir, 9, mendakwa telah ditumbuk seorang guru dibahagian kepala sehingga badannya terjatuh selepas terkena bucu meja.

Sebelum kejadian, Adam didakwa salah menjawab soalan bahasa Inggeris.

Menurutnya, tumbukan itu menyebabkan anaknya pening.

“Guru tersebut menggunakan penumbuk di bahagian kepala anak saya sehingga menyebabkannya terjatuh sehingga badannya terkena bucu meja.

“Disebabkan keadaan ini, anak saya mengalami pening dan loya akibat tumbukan yang kuat di bahagian kepala, manakala sakit di bahagian pinggang adalah disebabkan ditolak kerana dipukul guru tersebut lalu terkena pada bucu meja,”katanya dalam pertemuan media di sini, hari ini.

Menurut Syaheerah, hasil pemeriksaan doktor mendapati Adam mengalami pening dan loya akibat tumbukan yang kuat sehingga menyebabkan gegaran pada otak. Sakit di bahagian pinggang disebabkan terkena bucu meja.

Tambahnya, dia sangat terkilan apabila anaknya dipelakukan begitu dan mendakwa tidak ada sebarang tindakan datipada guru dan pihak sekolah.

Syaheerah berkata anaknya kini trauma dengan kejadian itu dan tidak berani lagi untuk pergi ke sekolah.

Dalam pada itu, Syaheerah mendakwa dia ada memberitahu guru besar berhubung kejadian itu, dan pihak sekolah mahu memberikan kauseling terhadap anaknya.

Malah menurutnya, guru besar turut memaklumkan untuk memindahkan guru itu ke kelas lain dan tidak mengajar di kelas anaknya namun dia menegaskan anaknya masih juga akan menemui guru tersebut pada waktu rehat.

Sehubungan itu, bagi keselamatan anaknya, Syaheerah memaklumkan, dia kini telah membuat laporan polis di IPD Putrajaya berhubung kejadian itu.

Dalam pada itu, perkara ini turut mendapat perhatian daripada Pertubuhan Perpaduan Dan Usahasama (PADU) yang turut sama memberikan sokongan kepada keluarga ini.

Presidennya, Mohd Faizan alias berkata, perkara itu perlu mendapat kerjasama daripada pihak sekolah dan menggesa agar pihak sekolah mengambil tindakan terhadap guru terbabit.

“Kita tidak mahu kejadian seperti ini berulang lagi.

“kita berharap selepas ini tidak akan ada lagi guru sewenang-wenangnya menggunakan kekerasan terhadap pelajar,”katanya.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Putrajaya Asisten Komisioner Rosly Hasan mengesahkan polis menerima laporan yang dibuat wanita itu. Kes disiasat di bawah Seksyen 323 Kanun Keseksaan kerana mendatangkan kecederaan.

Dalam pada itu SuaraTV masih mendapatkan penjelasan daripada pihak sekolah selepas difahamkan pihak sekolah enggan mengulas dan tidak mahu diganggu.-SuaraTV

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.