Rakyat Malaysia Terkandas Di Turki Selamat Tiba Di KLIA

SEPANG – Seramai 32 rakyat Malaysia yang terkandas di Lapangan Terbang Ataturk, Istanbul, Turki selamat tiba ke tanah air pagi tadi.

 

Antara yang tiba di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) di sini ialah Timbalan Naib Canselor (Penyelidikan dan Inovasi) Universiti Teknikal Malaysia Melaka (UTeM), Prof Dr Mohd Jailani Mohd Nor, dan pensyarah Fakulti Kejuruteraan Mekanikal, Universiti Malaysia Pahang (UMP), Mohd Hasnun Arif Hassan.

 

Mohd Hasnun berkata, seramai 32 rakyat Malaysia yang terkandas di lapangan terbang di Turki, tiba ke tanah air pada jam 5.10 pagi tadi dengan penerbangan Turkish Airlines.

 

“Difahamkan, awalnya 45 rakyat Malaysia didaftarkan ketika berada di lapangan terbang di Turki.

 

“Bagaimanapun, yang pulang hari ini hanya 32 orang, mungkin ada yang membatalkan penerbangan atau menaiki pesawat lain,” katanya ketika ditemui pemberita sebaik tiba di sini, hari ini.

 

Mereka adalah antara rakyat pelbagai negara yang terkandas di Lapangan Terbang Ataturk susulan cubaan rampasan kuasa oleh pihak tentera Turki, kelmarin.

 

Mohd Hasnun bersyukur kerana akhirnya selamat tiba ke tanah air selepas menempuh pengalaman agak menakutkan.

 

“Keadaan menjadi huru-hara secara tiba-tiba selepas beberapa das tembakan kedengaran di terminal,” katanya yang terkandas di lapangan terbang itu bersama empat pelajar sarjana dan ijazah doktor falsafah (PhD) UMP ketika menunggu penerbangan ke Malaysia selepas menghadiri persidangan di Amsterdam, Belanda.

 

Sementara itu, Mohd Jailani berkata, bunyi tembakan mencetuskan keadaan kelam-kabut dalam terminal, seolah-olah dalam peperangan.

 

Ketika itu, beliau menunggu penerbangan pulang ke tanah air selepas menghadiri Persidangan Antarabangsa Congress In Sound di Athens, Greece.

 

“Tiga kali bunyi tembakan kedengaran, orang awam berlari tidak tentu hala. Rakyat Turki mula memasuki lapangan terbang sambil melaung ‘Allahuakbar’ serta menghalau tentera yang berada di situ.

 

“Ketika Presiden Turki, Recep Tayyip Erdogan, tiba di lapangan terbang, kedengaran jet pejuang terbang rendah dan bunyi letupan menggegarkan dinding. Ada yang menangis, keadaan sangat kelam-kabut,” katanya.

 

Ketibaan beliau turut disambut Naib Canselor UTeM, Prof Datuk Dr Shahrin Sahib. – BH

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.