Parti baharu bukti Dr M tak yakin pembangkang

REMBAU – Pemuda Umno melihat hasrat bekas Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad untuk menubuhkan parti baharu, sebagai tanda ketidakyakinan beliau terhadap parti-parti pembangkang sedia ada.

 

Ketua Pemuda Umno, Khairy Jamaluddin berkata, kegagalan parti DAP, PKR dan Parti Amanah Negara (Amanah) memenangi Pilihan Raya Negeri (PRN) Sarawak dan Pilihan Raya Kecil (PRK) Kuala Kangsar dan Sungai Besar, menyebabkan Mahathir terpaksa menubuhkan parti baharu dan tidak boleh bergantung harap kepada parti pembangkang yang lain.

 

“Kalau beliau yakin dengan rakan-rakan pembangkang beliau yang baharu ini iaitu DAP, PKR dan Amanah, tak perlu beliau tubuhkan parti baharu.

 

“Ini bagi saya satu tamparan buat DAP, PKR dan Amanah sampai negarawan usia 90 tahun terpaksa keluar daripada persaraan dunia politik untuk tubuhkan parti sendiri,” kata Khairy yang juga Menteri Belia dan Sukan kepada media pada Majlis Rumah Terbuka Aidilfitri beliau di Gadong, dekat sini hari ini, yang dihadiri kira-kira 15,000 tetamu.

 

Khamis lalu, Mahathir mengumumkan beliau akan menubuhkan parti baharu yang akan menjadi sebahagian daripada komponen pakatan pembangkang bagi menghadapi PRU ke-14.

 

Di LARUT, Anggota Majlis Tertinggi (MT) Umno, Datuk Seri Hamzah Zainuddin berkata, penubuhan parti baharu oleh Mahathir secara tidak langsung mendedahkan matlamat bekas anggota Umno itu yang selama ini kononnya berjuang demi parti.

 

Hamzah berkata, penyertaan bekas anggota Umno dalam parti baharu tersebut jelas menunjukkan mereka merupakan individu yang gilakan kuasa.

 

“Kami tidak mahu musang yang berbulu ayam dalam parti. Bila Tun Mahathir buat parti baharu, kita nampak dengan jelas siapa yang nak sangat kuasa.

 

“Sebelum ini mereka beriya kata penyertaan dalam Umno adalah atas nama perjuangan, tapi sekarang siapa yang tamak nak kuasa,” kata Hamzah yang juga Menteri Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan.

 

Beliau bercakap kepada pemberita selepas majlis sambutan Aidilfitri Kementerian Perdagangan Dalam Negeri Koperasi dan Kepenggunaan 2016 sempena program kepenggunaan Parlimen Larut di Ijok hari ini yang dihadiri lebih 5,000 pengunjung.

 

Sehubungan itu, Hamzah menolak dakwaan bahawa penubuhan parti baharu itu dibuat atas nama kesepakatan bersama pembangkang. – Bernama

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.