Kerja Umno jadi mudah

KOTA BHARU – Tindakan Tun Dr Mahathir Mohamed merancang penubuhan parti baharu bagi menguatkan blok pembangkang memudahkan kerja Umno untuk mengenal pasti ‘musuh politik’ yang sebenar.

 

Ketua Penerangan Umno, Tan Sri Annuar Musa berkata, perancangan Mahathir itu sangat dialu-alukan kerana sebagai sebuah negara demokrasi berparlimen sudah termaktub dalam perlembagaan kebebasan untuk berpolitik asalkan penubuhan parti maenepati peraturan.

 

Menurutnya, rancangan Tun M menubuhkan parti dianggap lebih ‘gentleman’ berbanding berpolitik tanpa parti kerana ia lebih berperaturan dan semua pihak perlu menghormati.

 

“Terima kasih Tun M sebab dia isytihar secara berperaturan, berparti secara rasmi dan juga isytihar untuk tawan BN secara terbuka, itu lebih memudahkan kita.

 

“Malah ia satu perkembangan yang baik bagi amalan sistem berdemokrasi selain memudahkan untuk BN buat persiapan awal, kerana kita dah tahu nak lawan siapa pada pilihan raya nanti,” katanya kepada media.

 

Tambahnya, menubuhkan parti baharu lebih baik daripada terus berada dalam Umno tetapi bersikap ‘tikam belakang’ dan berpura-pura ‘sayang’ kerana ia hanya memberi kesan buruk kepada perjuangan anak bangsa.

 

“Ini juga satu kejayaan buat Tun M kerana berjaya guna orang yang selama ini beliau telah tawan berkali-kali, berpuluh tahun PKR, DAP kalah kepada beliau dan kini kalah lagi sebab boleh duduk bawah Tun M dalam blok pembangkang.

 

“Dalam Umno hidup tetap diteruskan seperti biasa, mereka (Tun M, Tan Sri Muhyiddin Yassin, Datuk Seri Anwar Ibrahim) adalah ‘musuh politik’ yang kita sudah kenal tiada perkara baharu. Kita kena mengalu-alukan mereka dan fikir itu lebih mudah sebab boleh kenal pasti siapa yang jadi pencabar Umno,” katanya.

 

Bagaimanapun katanya, tindakan Mahathir menubuhkan parti baharu tetap memberi kesan namun ia bergantung kepada Umno untuk mendepani cabaran tersebut dengan lebih berhemah.

 

“Kita kena sedia ‘antibodi’, kalau di luar sana ada ancaman ‘kuman selesema’ kuatkan antibodi, sekurang-kurangnya kita tahu nak berlawan dengan siapa. Ini normal, sebab kita dah tahu kelemahan dan kekuatan ‘musuh-musuh politik terbabit,” katanya. -Sinar

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.