KAFA Tak Izin Pemain Bersara Pasukan Kebangsaan – Annuar

KOTA BHARU – Persatuan Bola Sepak Kelantan (Kafa) tidak membenarkan mana-mana pemainnya untuk bersara daripada pasukan kebangsaan, kata Presidennya Tan Sri Annuar Musa.

 

Annuar berkata, sebagai badan gabungan di bawah Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM), Kafa mempunyai tanggungjawab tersendiri dan tidak boleh lari daripada berbakti kepada tanah air.

 

“Kami tak boleh membuka sebarang ruang yang boleh ditafsirkan sebagai kami tidak memberi sebarang kerjasama kepada badan induk kerana badan induk itulah yang menaungi bola sepak.

 

“Maka dalam konteks Kelantan, kalau pemain nak bersara dari menyumbang khidmat bakti kepada negara, dia terlebih dahulu kena bersara daripada pasukan Kelantan,” katanya kepada pemberita selepas merasmikan kongres Kafa kali ke-62 di sini, pada Sabtu.

 

Pada Selasa dan Khamis lepas, Safiq Rahim yang juga kapten skuad kebangsaan dan pemain pertahanan Aidil Zafuan Abdul Radzak diikuti S. Kunanlan dan Mohd Amirulhadi Zainal masing-masing mengumumkan keputusan untuk bersara daripada mewakili skuad kebangsaan.

 

Mengulas lanjut, Annuar berkata Kafa sedang terlibat dengan liga yang dikendalikan FAM iaitu liga yang diadakan turut bertujuan untuk mencari pemain berbakat untuk diserapkan dalam pasukan kebangsaan.

 

“Jadi kalau dia (mana-mana persatuan atau kelab) bermain dalam liga yang dikendalikan oleh ‘badan kebangsaan’ tapi dia menutup penglibatan untuk tujuan negara, saya fikir tidak wajar (tindakan itu diambil) sebagai badan gabungan.

 

“Pemain, bukan sahaja FAM, termasuk FIFA (Persekutuan Bola Sepak Antarabangsa), adalah wajib untuk pergi dan bermain untuk pasukan kebangsaan apabila dipanggil terutama sekali perlawanan…dalam jadual FIFA, itu adalah wajib,” katanya. – Awani

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.