Polis Thailand Sahkan Xavier Justo Temui Pemimpin Pembangkang Malaysia, Pemilik Media

KUALA LUMPUR – Polis Thailand mengesahkan rakyat Switzerland, Xavier Andre Justo menemui pemimpin pembangkang dari Malaysia dan seorang pemilik media sebelum menjual maklumat sulit mengenai syarikat bekas majikannnya, PetroSaudi International.

 

Menurut laporan New Straits Times, polis Thailand menyatakan Justo yang merupakan bekas pengarah syarikat itu mengadakan pertemuan dengan kedua-dua pihak itu di sebuah hotel di Singapura.

 

Pesuruhjaya Bahagian Teknologi Maklumat dan Komunikasi, Polis Diraja Thailand, Lt. Gen. Prawut Thavornsiri bagaimanapun berkata, menurut undang-undang Thailand, beliau tidak dapat menamakan pemimpin pembangkang dan pemilik media itu jika tiada waran tahanan dikeluarkan.

 

“Dia (Justo) menemui seorang yang sangat penting dari sebuah negara, di Singapura. Dia kemudiannya berunding mengenai harga dokumen-dokumen itu sebelum menjualnya kepada pembeli,” katanya kepada wartawan New Straits Times di Bangkok.

 

Prawut kemudiannya bagaimanapun mendedahkan individu yang ditemui Justo merupakan pemimpin dari sebuah parti pembangkang dari Malaysia dan seorang ahli perniagaan pemilik agensi media.

 

“Kami telah merampas komputer peribadi Justo dan berjaya menemui dokumen-dokumen dan maklumat mengenai pertemuan mereka di sebuah hotel di Singapura.

 

“Kebanyakan maklumat-maklumat itu ditemukan dari rekod e-mel dan perbualan WhatsApp milik Justo,” katanya sambil menyatakan maklumat imigresen dan hotel mengesahkan mengenai pertemuan itu.

 

Beliau berkata, Justo juga mengaku memeras ugut bekas majikannya PetroSaudi dan akan didakwa di bawah undang-undang Thailand kerana kesalahan memeras ugut. – UTUSAN ONLINE

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.