PAS-DAP Tidak Mungkin Berbaik Semula

SHAH ALAM – Cukup, cukuplah DAP! Itu isyarat diberikan Pas yang tidak mahu lagi terjatuh ke dalam lubang yang sama sampai dua kali dalam menjalin kerjasama politik dengan parti itu.

 

“Untuk masa terdekat ini, memang sukar untuk kita berbaik semula dengan DAP. Kita tidak mahu masuk lubang yang sama sampai dua kali,” kata Ketua Penerangan Pas, Nasrudin Hassan ketika ditanya mengenai kemungkinan dua parti pembangkang itu ‘rujuk’ semula setelah membatalkan tahaluf siyasi yang dijalin sejak 2008.

 

Ini berikutan kenyataan pemimpin veteran DAP, Lim Kit Siang yang baru-baru ini membayangkan kemungkinan dua parti berkenaan bersekutu semula pada masa akan datang.

 

Mengulas kenyataan itu, Nasrudin berkata: “Jika DAP mahu buat ‘U-Turn’, kepimpinan Pas kena tengok balik kedudukannya macam mana. Setakat ini, DAP sudah dua kali keluar dari pakatan pembangkang iaitu pertama kali ketika Barisan Alternatif, dan kini PR. Apa yang saya boleh kata, buat masa ini, sukar (untuk berbaik semula).”

 

Nasrudin berkata demikian ketika menjawab soalan dalam sesi dialog bersama pengurusan dan wartawan kanan Sinar Harian ketika berkunjung ke pejabat akhbar ini di sini, semalam.

 

Turut serta dalam kunjungan itu Ketua Dewan Muslimat Pas, Nuridah Salleh; Setiausaha Agung, Datuk Takiyuddin Hassan; Penolong Setiausaha Agung 2, Khairul Fahmi Mat Som; Setiausaha Politik kepada Presiden, Dr Ahmad Shamsuri Mokhtar dan Pesuruhjaya Pas Wilayah Persekutuan, Mohamad Noor Mohamad.

 

Nasrudin berkata, jika DAP serius mahu berbaik semula dengan Pas pada masa akan datang, konsep hubungan itu mungkin bukan dalam bentuk tahaluf siyasi seperti sebelum ini.

 

“Kena tukar. Mungkin kita boleh pakai konsep ta’awun. Ta’awun sekadar berkawan saja, tidak ada persefahaman secara konkrit. Ini tidak sama dengan tahaluf siyasi kerana tahaluf siyasi kena ada ikrar, sumpah dan akujanji,” tegasnya.

 

Menurut Nasrudin, Majlis Syura Ulama Pas memutuskan bahawa tahaluf siyasi dengan Pas telah terbatal disebabkan telah berlaku pelanggaran syarat oleh pihak DAP ketika mereka bekerjasama sebelum ini.

 

“Mengikut hukum asal, gerakan Islam seperti Pas tidak boleh bekerjasama dari segi politik atau terikat perjanjian dengan bukan Islam. Namun ulama kata boleh dengan syarat dan salah satu (daripada syarat itu) ialah pihak yang satu lagi itu tidak boleh halang usaha gerakan Islam untuk melaksanakan Islam.”

 

Sebelum itu, katanya, kedua-dua belah pihak telah ada persefahaman untuk ‘bersetuju untuk tidak bersetuju’ berhubung perkara itu namun DAP kemudiannya telah bertindak menentang hasrat Pas mahu melaksanakan Islam.

 

“Apabila berlaku penentangan, ini boleh jadi sebab syarat yang ditetapkan itu terbatal. Apabila syarat terbatal, secara automatik tahaluf siyasi terbatal,” katanya.

 

Menjelaskan lebih lanjut kata-katanya, Nasrudin berkata: “Jika DAP tidak setuju kita nak buat hudud, tidak mengapa…kerana mereka bukan Islam. Namun sekarang mereka bukan saja tidak bersetuju tetapi juga turut menentang.

 

“Mereka hantar soalan di Parlimen memprovokasi kerajaan untuk menunjukkan hudud bertentangan dengan Perlembagaan.

 

“Jadi susah kita nak buat kerja kerana kita jemaah Islam yang memperjuangkan syariat Islam,” katanya.

 

Dalam pada itu, katanya, Pas tidak akan mengundurkan diri daripada Kerajaan Negeri Selangor dan Pulau Pinang.

 

“Kedudukan Pas di Selangor tidak terjejas kerana kerjasama yang terbatal hanya melibatkan parti dengan parti. Dalam kerajaan negeri, masih ada satu lagi pihak iaitu PKR.

 

“Kerajaan juga ini ditubuhkan dengan mandat diberi rakyat dan Pas juga ada saham. Jadi tidak ada sebab untuk kita berundur kerana kita kena pikul mandat itu sampai pilihan raya,” katanya. – Sinar

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.