Musuh Mahu Lihat Rakyat Lemah Semangat

TAMPIN – Rakyat harus memberi sepenuh kepercayaan kepada Polis Diraja Malaysia, Angkatan Tentera Malaysia, Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia dan lain-lain agensi yang terlibat dalam menangani permasalahan yang dihadapi di pantai timur Sabah, kata Menteri Dalam Negeri Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi.

Ahmad Zahid berharap rakyat tidak mempertikaikan kemampuan pasukan keselamatan dalam menghadapi situasi berkenaan.

“Inilah yang mereka mahu, apabila pertikaian dihamburkan kepada pihak penguat kuasa maka akan berlaku ‘demoralisation’ (lemah semangat). Inilah pihak musuh mahu, seolah-olah kita tidak bersatu. Apabila tidak ada kesatuan maka mereka akan masuk ke Sabah bila-bila masa sahaja.

“Berikanlah kepercayaan kepada kami, insya-Allah kami akan lakukan tugas dengan sebaiknya,” katanya dalam sidang media selepas majlis berbuka puasa bersama warga Kementerian Dalam Negeri (KDN) Negeri Sembilan di Kompleks Perumahan Ibu Pejabat Polis Daerah Tampin di sini, hari ini.

Turut hadir Ketua Polis Negara Tan Sri Khalid Abu Bakar. 

Katanya beliau tahu bahawa ada keraguan dalam kalangan rakyat, khususnya Sabah yang berada di kawasan Zon Selamat Timur Sabah (ESSZone) terhadap tindakan menyerahkan kepada PDRM mengambil alih kepimpinan Kawasan Keselamatan Khas Pantai Timur Sabah (ESSCom).  

“Saya ingin menyebutkan bahawa yang kita hadapi bukan sebuah negara. Peperangan dua negara lazimnya menggunakan ‘fire power’ atau pun menggunakan sistem peperangan konvensional.

“Yang kita hadapi ini ialah mereka yang merupakan kumpulan penculik dan mereka juga merupakan kumpulan pengganas dan penceroboh sebagaimana yang telah berlaku dalam peristiwa Lahat Datu yang lalu.

“Jadi, kaedah kemasukan mereka, kaedah serangan dan kaedah penculikan itu dibuat secara gerila maka langkah-langkah yang kita gunakan ialah bagi mengatasi kaedah dan taktik yang digunakan itu.

Sehubungan itu Ahmad Zahid berharap rakyat akan memberi sepenuh kepercayaan kepada anggota keselamatan negara.

“Kita juga harus tahu bahawa kerajaan Filipina menghadapi kumpulan yang sama juga, sama ada dulu kumpulan pembebasan atau kumpulan pengganas atau kumpulan penculik dan mereka telah bergerak lebih 40 tahun di selatan Filipina. Kini mereka memberikan tumpuan atau mangsanya di wilayah Sabah,” katanya.

Pada majlis itu, selain memberi sumbangan kepada kepada anak yatim, anak istimewa dan balu polis, Ahmad Zahid turut menerima cek RM15,000 daripada Majlis Senator Malaysia (MSM).

Cek itu disampaikan oleh Presiden MSM Tan Sri Abdul Rahim Abdul Rahman untuk balu anggota polis Marin, Koperal Ab Rajah Jamuan, yang terbunuh dalam serangan hendap di sebuah pusat peranginan di Pulau Mabul, Sabah, baru-baru ini. – Bernama

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.