Mayat Reput Ditemui Di Bawah Jambatan

Baling – Mayat seorang lelaki yang reput ditemui di bawah jambatan di Kampung Luar, Mukim Siong di Baling bersama seguni pucuk paku, semalam.

Timbalan Ketua Polis Daerah Baling DSP Wari Kiew berkata mayat mangsa yang dikenali sebagai Ahmad Tarmizi Desa, 31, ditemui hanya tinggal beberapa kerat tulang tangan dan kaki itu oleh seorang pemancing pada pukul 4.30 petang.

Beliau berkata pemancing itu yang melalui kawasan berkenaan terhidu bau busuk dan menyiasatnya sehinggga terjumpa mayat yang reput, sebelum membuat laporan polis di Pondok Polis Pekan Kampung Lalang.

“Mangsa mungkin meninggal dunia seminggu lalu berpandukan keadaan mayat yang reput dengan keadaan hanya tinggal beberapa ketul tulang tangan dan kaki serta tengkorak kepala,” katanya kepada pemberita di Baling hari ini.

Katanya seguni pucuk paku yang ditemui bersama mayat mungkin dikutip mangsa untuk dijual di pekan Kampung Lalang.

Katanya mangsa pernah ditahan polis beberapa kali kerana terbabit dengan penagihan dadah.

Wari berkata mayat berkenaan dibawa ke Hospital Sultanah Bahiyah Alor Setar untuk bedah siasat dan punca kematian masih belum diketahui.

Bapa saudara mangsa Jamrus Yaakob, 59, mengesahkan mayat berkenaan adalah anak saudaranya yang tinggal seorang diri di kampung itu setelah kedua-dua ibu bapanya meninggal dunia.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.