Mat Yo Kembali Tersenarai

Norshahrul Idlan Talaha kembali tersenarai dalam skuad Harimau Malaya selepas Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) mengumumkan senarai penuh 22 pelatih pasukan kebangsaan bagi menghadapi Tajikistan dalam satu perlawanan persahabatan pada 8 September depan.

Norshahrul yang juga dikenali sebagai ‘Mat Yo’ sebelum ini tidak disenaraikan dalam skuad kebangsaan yang ketika itu dibimbing pengendali sementara, Datuk Ong Kim Swee ketika beliau mengambil alih Harimau Malaya pada 4 Februari lalu.

Mat Yo yang juga ditimpa masalah kecederaan pada musim lalu, dikatakan enggan menyertai sesi latihan bersama Harimau Malaya dengan alasan mahu mengerjakan umrah pada 3 Mac lalu.

Begitupun, pemain kelahiran Terengganu itu membatalkan hasrat tersebut dengan menyertai sesi latihan tetapi terlepas aksi menentang Filipina pada aksi persahabatan di Stadium Majlis Perbandaran Selayang pada awal Mac lalu.

Kini, jurulatih baharu Harimau Malaya, Dollah Salleh kembali menyenaraikan penyerang Johor Darul Takzim (Johor DT) itu menjelang aksi persahabatan pertama menentang Tajikistan sebagai persiapan sebelum mengharungi kempen Piala AFF Suzuki Singapura dan Vietnam pada Disember depan.

Mat Yo bakal kembali bergandingan dengan rakan sepasukan di Johor DT, Safee Sali dan Mohd. Norfarhan Mohamad (Terengganu) di posisi serangan dalam perlawanan itu nanti.

Selain Mat Yo, tonggak pertahanan Polis Diraja Malaysia (PDRM), Mohd. Muslim Ahmad antara muka lama yang tidak menyertai skuad kebangsaan, juga diberikan kepercayaan untuk menyertai senarai pelatih Harimau Malaya.

Pemain kelahiran Terengganu itu tidak terlepas untuk mengucapkan terima kasih kepada Dollah yang masih lagi menaruh kepercayaan kepadanya dan Muslim berazam untuk mempamerkan prestasi lebih positif.

“Saya berterima kasih kepada Dollah kerana masih memberikan kepercayaan kepada saya untuk menyertai skuad kebangsaan.

“Saya mahu menggunakan peluang ini sebaik mungkin dan mahu meningkatkan mutu permainan saya di peringkat antarabangsa.

“Sejujurnya, saya rindu untuk bersama Harimau Malaya dan saya berharap dapat membalas kepercayaan jurulatih nanti,” katanya ketika dihubungi Kosmo! semalam.

Antara pemain yang dipanggil adalah muka-muka lama seperti Khairul Fahmi Che Mat (Kelantan), Mahalli Jasulli dan Mohamad Fadhli Mohd. Shas (Johor DT).

Artikel Penuh: http://kosmo.com.my/kosmo/content.asp?y=2014&dt=0717&pub=Kosmo&sec=Sukan&pg=su_01.htm#ixzz37g6pAcuv
Hakcipta terpelihara

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.