Khalid Samad Tawar ‘Permohonan Maaf Bersyarat’ Kepada Sultan Selangor

Shah Alam – Pemimpin PAS Khalid Samad berkata beliau membuat permohonan maaf kepada Sultan Selangor “jika” melakukan tindakan yang membuatkan pemerintah negeri itu merasakan baginda dicabar.

“Saya membuat permohonan maaf jika ada tindakan saya yang mengakibatkan Sultan percaya itu niat saya (untuk mencabar kuasa baginda),” kata Khalid pada sidang media di ibu pejabatnya di Shah Alam hari ini.

Apabila ditanya jika niatnya adalah menawarkan permohonan maaf bersyarat, Khalid berkata, ini kerana beliau tidak mengetahui kesalahannya.

“Sebab saya tidak tahu di mana saya cabar kuasa baginda,” kata ahli Parlimen Shah Alam itu.

“Jadi ia menjadi seperti permohonan maaf bersyarat. Jika saya dapat bertemu baginda menjelaskan apa yang saya lakukan, dan terbukti, saya akan minta maaf lah.”

Khalid bagaimanapun menegaskan pendiriannya kerajaan negeri Selangor perlu menyemak kembali kuasa eksekutif yang diberikan kepada Majlis Agama Islam Selangor (Mais).

Beliau menjelaskan niatnya bukan untuk mencabar Sultan namun melindungi institusi beraja daripada kritikan sekiranya Mais melakukan kesilapan semasa menjalankan tugas.

Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah murka dengan Khalid dalam ucapannya pada Selasa kerana mempersoalkan kuasa eksekutif Mais dan mencadangkan kuasa eksekutif pihak berkuasa agama itu ditarik balik.

Baginda pada titah ucapan semasa merasmikan Masjid Pekan Sepang, di Selangor baru-baru ini berkata, meskipun bukan anak jati Selangor, Khalid yang diberi peluang menjadi wakil rakyat di negeri itu seharusnya mengambil peluang mendalami sejarah negeri Selangor dan undang-undang yang terpakai terutama Undang-undang Tubuh Kerajaan Selangor dan Enakmen Pentadbiran Agama Islam Negeri Selangor.

“Ahli Parlimen Shah Alam, Khalid Samad mempersoalkan kuasa eksekutif Mais dan mencadangkan kerajaan Pakatan Rakyat (PR) Selangor menghapuskan kuasa eksekutif Mais,” kata baginda dalam ucapannya.

“Beta amat kesal dan kecewa dengan kenyataan yang tidak bertanggungjawab itu.”

Baginda berkata, kenyataan Khalid itu ternyata menunjukkan beliau jahil tentang peranan Mais yang diwujudkan oleh Undang-undang Tubuh Kerajaan Selangor sebagai penasihat dan membantu baginda dalam menjalankan kuasa sebagai Ketua Agama Islam di negeri Selangor.

“Tindakan Khalid mempersoalkan kuasa Mais seolah-olah menunjukkan sikap biadap dan penentangan kepada kuasa beta sebagai ketua agama Islam yang mendapat nasihat daripada pihak Mais berkenaan agama Islam seperti yang sedia termaktub di bawah undang-undang. – TMI

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.