Khalid Enggan Komen, Wan Azizah MB Baru Selangor

Kuala Lumpur – Tan Sri Khalid Ibrahim berkata beliau tidak akan mengulas mengenai cakap-cakap yang menyebut bahawa presiden PKR Datuk Seri Wan Azizah Wan Ismail akan menggantikan kedudukannya sebagai menteri besar.

“Ini saya tidak mahu komen, kalau saya komen lagi banyak masalah,” katanya sambil ketawa besar ketika ditanya para pemberita hari ini.

Beliau juga bertekad untuk kekal menerajui Selangor sehingga pilihan raya umum akan datang.

Katanya lagi, beliau tidak gusar dengan tekanan ke atasnya agar berundur dari jawatan tersebut.

“Saya dah biasa dengan tekanan ini,” kata beliau ketika ditanya lanjut mengenai kritikan yang timbul ke atas pentadbirannya, termasuk dari rakan sekutu dan pemimpin partinya sendiri.

Malah, ketua umum PKR Datuk Seri Anwar Ibrahim turut mengakui bahawa parti itu sedang meneliti isu berhubung kedudukan Khalid sebagai menteri besar.

Katanya, beliau mahu mengambil masa bagi menunaikan janji kepada rakyat Selangor, yang memberi kemenangan besar kepada Pakatan Rakyat dalam pilihan raya umum lalu.

“Ini bulan Ramadhan. Saya dah nyatakan dulu yang saya mahu kekal sampai tamat penggal saya sepertimana saya janjikan kepada rakyat Selangor.

“Saya telah mengangkat sumpah untuk menguruskan negeri ini sehingga pilihan raya akan datang,” kata beliau dalam sidang media selepas mesyuarat exco Selangor hari ini.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.