Kertas Cadangan Caj Kenderaan Akan Dibentangkan

KUALA LUMPUR: Ahli Parlimen Rembau, Khairy Jamaluddin berkata kertas cadangan supaya kerajaan mengenakan bayaran kepada kenderaan yang masuk dari Singapura akan dibentangkan dalam masa terdekat.

Menurutnya keputusan ini telah di buat dalam mesyuarat kabinet pagi tadi dan beliau sedang menunggu memorandum yang akan dikemukakan oleh Menteri Pengangkutan, Liow Tiong Lai.

“Saya sudah memaklumkan kepada Liow bahawa kita wajar kenakan caj kenderaan daripada Singapura memandangkan mereka sendiri telah menaikkan kadar bayaran masuk ke negara mereka,” katanya dalam satu sidang media.

Sebelum ini Khairy membuat kenyataan bahawa Singapura telah menaikkan kadar caj bagi kemasukan kenderaan ke negara itu kepada SGD$35 berbanding SGD$20 sebelumnya.

“Kita tidak perlu meminta pendapat daripada Singapura dalam hal mengenakan bayaran masuk kerana mereka sendiri tidak pernah meminta pendapat dari kita berkenaan kenaikkan bayaran masuk ke negara mereka,” katanya.

Jelasnya lagi, layanan yang diberikan oleh Singapura kepada negara kita tidak seimbang.

”Selama ini mereka masuk ke negara kita tanpa dikenakan apa-apa bayaran bahkan mereka juga tidak pernah membayar saman yang dikenakan terhadap mereka.

“Mereka turut menggunakan Lebuhraya Persekutuan dan lebuhraya-lebuhraya lain di negara kita. Siapa yang nak menyelenggarakan jalan yang mereka guna.

“Tetapi, kita pula tidak dibenarkan masuk ke negara Singapura jika tidak menjelaskan saman yang dikenakan di negara mereka,” ujarnya.-FMT

http://www.freemalaysiatoday.com/category/nation/2014/07/17/kertas-cadangan-caj-kenderaan-akan-dibentangkan/

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.