Jangan Cabar Kami

Kuala Lumpur – ‘Jangan cabar kami’ itu antara pesanan yang diberikan oleh Kementerian Wilayah Persekutuan kepada mereka yang berdegil dan ingin meneruskan aktiviti haram di ibukota.

Bercakap kepada SuaraTv, Ketua Bilik Gerakan Azman Mahmood berkata pihak Kementerian memandang serius dengan aktiviti haram yang dijalankan.

“Hasil perbincangan yang dilakukan, kementerian telah memutuskan untuk mengerakkan operasi bersepadu bagi membanteras aktiviti ini.

“Mereka seperti ingin mencabar kita (pihak berkuasa) dan berdegil dengan meneruskan aktiviti walaupun telah diserbu beberapa kali.

“Oleh itu Operasi Bersepadu Banteras Aktiviti Haram Wilayah Persekutuan (Siri 1) yang dijalankan ini adalah bukti komitmen kita” katanya ketika sesi taklimat malam tadi.

Operasi yang dijalankan pada malam tadi adalah merupakan rentetan dari kenyataan Menterinya, Datuk Seri Tengku Adnan Mansor pada 16 April lalu.

Operasi yang diketuai oleh Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) ini turut disertai oleh 11 agensi lain antaranya PDRM, Agensi Anti Dadah Kebangsaan, JAWI, Imigresen dan sebagainya.

“Apa yang saya boleh katakan, ini hanya peringkat permulaan, dan operasi ini akan tetap diteruskan dari masa ke semasa bagi memastikan aktiviti haram seperti perjudian di ibu kota dapat dibanteras” katanya lagi.

Utusan Malaysia sebelum ini mendedahkan kegiatan judi haram yang semakin berleluasa dengan hampir semua daerah mempunyai premis mesin judi dan setiap satu premis mempunyai tidak kurang 30 buah mesin.

Laporan tersebut turut mempertikaikan keberkesanan agensi penguat kuasa terutama PBT dalam usaha membanteras kegiatan mesin judi haram.

 

 BERITA LANJUT MENYUSUL

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.